Berkhilaf dalam menjatuhkan DS Najib ( Bah. Akhir)

- Advertisement -

Sambungan

- Advertisement -

Menjatuhkan DS Najib versi PAS dan Gagasan Sejahtera 

PAS dan Gagasan Sejahtera terdiri daripada PAS, Ikatan dan Berjasa. Ringkasnya ia suatu pakatan yang diketuai oleh PAS, di mana parti-parti komponen bersetuju untuk menerima dasar-dasar perjuangan Islam oleh PAS.

Ramai yang tidak perasan bahawa dalam PAS sendiri, ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang terdiri daripada golongan bukan Islam. Di mana, sebahagian mereka diberi mandat oleh PAS untuk bertanding dalam PRU ke-14.

●     PAS bukan sekadar menentang DS Najib, tetapi menentang Umno dan BN

Pertentangan PAS dan Umno sudah berlangsung sejak tahun 1951 lagi. Persaingan antara dua parti besar orang Melayu Islam ini bukanlah disebabkan oleh dendam atau masalah dalaman berbentuk peribadi. Tetapi ia adalah lebih kepada perbezaan dasar dan pendekatan dalam mentadbir negara.

PAS dan Umno mahu memajukan sosio-ekonomi orang Melayu yang jauh ketinggalan pada awal kemerdekaan. Kedua-duanya juga mahu menyatukan dan membangunkan penduduk Malaysia pelbagai bangsa dan etnik. Namun dasar dan pendekatan mereka berbeza.

●     Perbezaan dasar dan pendekatan dalam mentadbir negara

PAS mahukan pendekatan berteraskan Islam. Dasar-dasar negara mestilah sesuai dengan kehendak hukum syarak. Pendekatan yang bercanggah dengan hukum syarak, hendaklah diubah suai agar bertepatan dengan hukum tersebut.

PAS juga mahu, dasar Sekular peninggalan penjajah British, tidak lagi menjadi dasar negara setelah British telah kembali ke kampung halaman mereka. Usaha memperkasakan Syariah dalam pentadbiran dan perundangan negara perlulah diberikan perhatian setelah kemerdekaan.

Jika berpandu kepada hukum Syarak dalam pemerintahan, kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Tambahan pula, hukum Islam itu sesuai untuk setiap masa dan tempat. Ia bukan sesuai untuk orang Melayu sahaja. Ia amat sesuai untuk masyarakat majmuk. Hukum Islam pula tidak rigid. Ia sangat terbuka. Islam memberikan ruangan yang sangat luas untuk menerima pakai idea dan pemikiran manusia. Ia hanya meletakkan sedikit batasan agar manusia tidak sampai merosakkan diri mereka sendiri.

Tetapi Umno mahukan pendekatan yang lebih bebas. Umno tidak mahu terikat dengan hukum Islam. Umno merasakan menggunakan Islam di dalam pentadbiran negara adalah terlalu rigid dan tidak sesuai dengan masyarakat majmuk.

Menggunakan pendekatan Islam akan menyebabkan ketidakadilan kepada bukan Islam. Dasar Sekular adalah lebih sesuai. Undang-undang Islam ada, tetapi hanyalah terhad dalam aspek berkaitan pentadbiran perkahwinan, zakat, penentuan bulan Ramadhan, penetapan tarikh hari raya dan pembahagian pusaka sahaja. Perundangan jenayah dan lain-lain mestilah berdasarkan Undang-undang Sivil, terutamanya yang diguna-pakai di negara-negara Komanwel.

●     Kesan daripada perbezaan dasar dan pendekatan PAS dan Umno

PAS berpandangan, jika tidak mengikut hukum Islam dalam dasar pentadbiran negara, negara akan mudah terjerumus ke dalam kerosakan. Lambat laun dasar yang secara zahirnya dilihat baik, akan terdedah kepada kezaliman, salah guna kuasa, pembaziran, rasuah, Kronisme dan pelbagai bentuk ketidakadilan.

Begitulah yang berlaku di dalam pemerintahan Umno dan BN. DEB bertukar menjadi UmnoPutra. Tanah Rezab Melayu bertukar tangan kepada pembida yang lebih besar. Dasar menjaga kebajikan rakyat bertukar kepada Dasar Penswastaan. Dasar Percukaian bertukar kepada dasar yang membebankan rakyat terbanyak. Dasar subsidi minyak, dihapuskan. Dasar GST diperkenalkan.

Skandal-skandal salah laku dalam pengurusan wang kerajaan dan GLC semakin parah. Isu BMF, Perwaja, PKFZ, NFC, 1MDB, penyalahgunaan duit royalti minyak Terengganu adalah sebahagian daripada senarainya yang panjang. Semua ini melibatkan berbillion-billion duit negara.

●     Adakakah Umno sampai langsung tidak melaksanakan Islam di dalam Pentadbiran Kerajaan?

Tidak. Memang Umno ada melakukannya, tetapi dalam skop yang terbatas. Persaingan dengan PAS, telah menjadikan Umno tetap mahu dilihat menjuarai perkembangan Islam di Malaysia. Ia juga sebagai satu strategi untuk mengekang pengaruh PAS.

Antaranya, menubuhkan Tabung Haji, Bank Islam, Perbankan Islam, menubuhkan UIA, membanyakkan pembinaan masjid, TV Al-Hijrah, menaikkan taraf Mahkamah Syariah dan lain-lain.

PAS tidak menentang usaha-usaha baik Umno itu. Bahkan mengalu-alukannya. Walaupun pada asalnya, ia adalah strategi politik Umno untuk melumpuhkan PAS.

Sungguh pun begitu, PAS berpendapat rakyat akan mendapat lebih banyak kebaikan setiap kali agenda Islam semakin diperkasakan.

●     Bagaimana PAS mahu menjatuhkan DS Najib dan BN?

Melalui saluran demokrasi. Melalui pilihan raya sejak tahun 1955. Walaupun ketika itu, tidak ramai yang menyokong PAS. Walaupun kerusi yang diperolehi oleh PAS adalah sedikit. Walaupun pelbagai undang-undang berat sebelah oleh SPR. Walaupun menghadapi pelbagai bentuk penipuan pilihan raya.

PAS konsisten dan istiqamah menjalankan tanggungjawab menyuruh kepada yang Makruf dan mencegah daripada kemungkaran. Ucapan pemimpin PAS, termasuk ahli Parlimen dan Dewan Undangan mereka, jelas membangkitkan isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat, pembaziran kerajaan, kezaliman dan salah urus dana negara.

PAS konsisten menawarkan diri untuk menggantikan kerajaan Umno dan BN. Sehingga pernah membentuk kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. Di Selangor, PAS pernah menyertai kerajaan campuran PKR dan DAP.

PAS menunaikan amanah rakyat dengan sebaiknya, tidak kiralah sebagai kerajaan ataupun pembangkang. Tapi Umno dan BN mengenakan pelbagai tekanan dan sekatan kepada negeri yang dikuasai PAS. Umno dan BN sentiasa membelakangkan demokrasi dalam berhadapan dengan PAS. Namun Umno dan BN tidak mampu menyekat gelombang kebangkitan rakyat secara besar-besaran.

●     Tawaran PAS dalam PRU ke-14

Sekali lagi dalam PRU ke-14, PAS menawarkan kepada rakyat Malaysia untuk mengundi PAS sebagai ahli Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri mereka.

Seramai 158 calon PAS dan Gagasan Sejahtera ditawarkan dalam PRU ke-14 ini. Calon-calon terdiri daripada lelaki dan wanita, ramai juga calon-calon muda selain daripada calon-calon yang berpengalaman, ada juga calon bukan Islam daripada DHPP.

Calon-calon PAS bukan sahaja daripada kalangan lulusan agama, bahkan terdiri daripada golongan profesional yang lain dan juga terdiri daripada golongan aktivis masyarakat yang dekat dengan denyut nadi rakyat.

Ada doktor, jurutera, Pakar Ekonomi, Pakar Aero-angkasa, ahli perbankan, peguam, pensyarah, ahli perniagaan, bekas Pegawai Tinggi Perkhidmatan Awam, bekas Pegawai Tinggi Tentera, ahli sukan dan lain-lain.

PAS dalam PRU ke-14 ini menawarkan diri kepada rakyat Malaysia untuk dipilih sebagai Kerajaan Malaysia yang baru dan sebagai kerajaan-kerajaan negeri. Cukuplah Umno dan BN!

Merumuskan khilaf di kalangan parti-parti ini 

Memanglah berlaku khilaf di kalangan Umno, BN, PH dan PAS dalam usaha menjatuhkan DS Najib dalam PRU ini. Tetapi pendapat yang lebih kuat dalam khilaf ini ialah kita mengundi PAS dan Gagasan Sejahtera.

Umno dan BN tidak mampu terlepas daripada genggaman kemas DS Najib. Cara menjatuhkan DS Najib bagi orang Umno dan BN, hanyalah dengan menjatuhkan Umno dan BN dahulu, ataupun sekurang-kurangnya melemahkan sedikit pencapaian BN dalam PRU ini. Jika tidak, DS Najib akan semakin mencengkam kukuh.

PH pula, terlalu banyak isu dan persaingan dalaman sesama mereka. Kemenangan PH hanya akan mengheret rakyat dalam konflik dalaman PH yang tidak berkesudahan.

Tambahan lagi, Tun Mahathir sudah mengumumkan bahawa beliau memerlukan lebih daripada 2 tahun sebagai PM. Pastinya, tiada DS Anwar, jika PH menang.

Sementara, PAS dan Gagasan Sejahtera mempunyai visi yang jelas sebagai kerajaan menunggu. Pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan yang sifar rasuah, boleh menjadi “Bench Mark” yang penting bagi menggambarkan kerajaan baru yang sangat berintegriti.

Calon-calon yang dikemukakan pula adalah sangat berwibawa dan bertepatan dengan aspirasi rakyat Malaysia, serta berupaya membaiki kerosakan yang dibuat oleh Kerajaan sedia ada.

Selain daripada menawarkan model “kKerajaan Teknokrat”, PAS dan Gagasan Sejahtera juga dilihat bersih. Tidak terpalit dengan skandal yang melibatkan Umno dan BN. Dan juga tidak terpalit dengan ‘jasa-jasa’ silam Tun Mahathir Mohamad.

Penutup

Walaupun panjang membaca artikel ini, penulis berharap para pembaca dapat melihat keseluruhan senario besar yang menyelubungi slogan “Setiap pihak hendak menjatuhkan DS Najib”.

Maklumat yang sangat terhad boleh menyebabkan kita tersilap. Kita mungkin akan menyesalinya untuk jangka masa yang panjang. Semoga para pembaca dapat membuat keputusan yang lebih tepat pada 9 Mei ini.

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
3 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 4/5/2018

- Advertisement -