PAS Kedah paling kuat di Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS paling kuat di Negeri Kedah.

- Advertisement -

“Untuk maklumat, PAS Kedah ni paling kuat di Malaysia, lebih kuat daripada Kelantan, daripada Terengganu kerana cawangan paling banyak, ahli paling banyak,” kata beliau dalam Ceramah PRU14 di Medan Ilmu Sungai Baru Gunong, Alor Star, malam tadi yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook.

Beliau berkata, PAS bertapak di Kedah semenjak daripada penubuhan parti itu.

“PAS bertapak di Kedah sejak mula ditubuhkan lebih dulu daripada Terengganu dan Kelantan,” kata beliau.

Beliau menambah, strategi Tun Mahathir yang membuat persempadanan kawasan bagi menghalang PAS untuk menang di Kedah.

PAS yakin menang

Beliau menyatakan bahawa antara faktor keyakinan PAS mencapai kemenangan adalah perubahan pengundi-pengundi muda.

“Dalam lawatan saya ke seluruh negara saya dapati pengundi muda tak kurang daripada 30 peratus. Ini jadi undi penentu, sebab tu kita yakin menang,” ujarnya yang mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada PRU14.

Beliau menambah PAS memiliki cawangan-cawangan yang banyak beserta organisasi yang baik.

“Bahkan dalam masa kerjasama Pakatan Rakyat, mereka guna jentera-jentera kita, tak jadi masalah pada PAS,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/5/2018

- Advertisement -