PAS akan selesaikan isu tanah, rumah rakyat

- Advertisement -

TITIWANGSA: Isu tanah dan perumahan merupakan antara masalah rakyat yang paling serius dan kritikal, selain kegagalan pemerintah mengekalkan Tanah Rizab Melayu (TRM).

- Advertisement -

Pada ketika ini, rakyat Malaysia khususnya Bumiputera antara yang ramai tidak memiliki tanah dan rumah sendiri, manakala TRM hanya berbaki 11 peratus di seluruh negara.

Calon PAS P.119 Titiwangsa, Mohamad Noor Mohamad berkata, PAS Wilayah Persekutuan komited berjuang mempertahankan TRM yang masih ada di ibu kota itu.

Malah ujar beliau, PAS sekiranya diberi mandat dan bertekad menggantikan tanah telah diambil, selain berjanji menghapuskan GST yang mencengkam rakyat dan hutang pinjaman PTPTN para siswazah.

Menurutnya, keadaan rakyat menjadi sedemikian disebabkan salah urus tadbir, penyelewengan dan ketirisan dilakukan pemerintahan BN yang menimpakan kesusahan dan tanggungan kos sara hidup tinggi.

“Rakyat wajar mendapat pembelaan dalam kemelut ekonomi sekarang yang menyebabkan masalah rumahtangga serta jenayah berleluasa,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Perkara itu ditegaskannya pada ceramah bersama Naib Presiden PAS, Dato’ Ar Iskandar A Samad yang juga calon PAS N.21 Pandan di ‘kubu kuat BN’ Flat Seri Perlis 2, Keramat, di sini semalam.

Iskandar dalam ucapannya turut menyentuh perihal sama di mana maklum beliau, isu tanah di Kampung Pandan hanya selesai selepas Kerajaan Negeri Selangor beralih tangan kepada PAS, PKR dan DAP ketika itu.

“Bila PAS bersama menerajui Selangor, rakyat dapat rumah mampu milik melalui skim Rumah Selangorku dan bekalan air percuma.

“Justeru, jika warga Titiwangsa mahukan pembelaan sewajarnya dalam soal tanah dan perumahan, undilah PAS,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Selangor. -HARAKAHDAILY 2/5/2018

- Advertisement -