BEBERAPA hari lalu tersebar kenyataan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang memberi komentar kepada isu Ust Nik Omar.
Antara kenayataan Tuan Presiden
“Al-Quran mengisahkan anak Nabi Nuh A.S yang memperlekehkan bahtera ayahnya dan lebih yakin kepada bukit yang dapat dilihat gagah boleh menyelamatkannya daripada taufan terbesar, maka bahtera ayahnya ditinggalkan”.
Kenyataan Tuan Presiden ini merupakan kenyataan yang paling banyak dikritik oleh ramai individu dari pelbagai latar belakang. Hujah utama mereka dalam mengkritik adalah kerana Tuan Presiden telah membandingkan Ust Nik Omar yang masih Muslim, dengan anak Nabi Nuh A.S yang telah kafir.
Lalu dengan tersebarnya kritikan ini, kenyataan-kenyataan lain daripada Tuan Presiden melalui post beliau yang sama telah dipejamkan. Antara kenyataan Tuan Presiden yang lain adalah:
● Istiqamah dengan perjuangan PAS, kata Tuan Presiden :
“Sepatutnya anak-anak pemimpin PAS tidak bersama bahtera Pakatan Harapan (PH) yang menjadi nakhodanya Tun Mahathir dan pembantunya yang menebuk bahtera Barisan Nasional (BN) sehingga menjadi bocor dimasuki air dan juga sangat membahayakannya”
● Kecelaruan bahtera PH, kata Tuan Presiden :
“Apa yang menarik bahtera PH mengumpulkan kumpulan DAP yang anti-Islam secara terbuka. Pemimpin utamanya pula pemikir pemutar alam yang dilihat bijaksana tanpa bijaksini, lebih memenangkan akal terhadap nas al-Quran dan tidak yakin kepada Kitab-kitab Hadis seperti Sahih Bukhari, Muslim dan lain-lain, serta tidak percaya kepada para Ulama dalam perkara politik”.
Terdapat juga beberapa nukilan lain yang di bawah point yang sama, seperti PH turut bersama kumpulan Islam Liberal dan sebagainya
Jawapan perbandingan Ust Nik Omar
● Kritikan yang dilontarkan kepada kenyataan Tuan Presiden adalah membandingkan seorang yang Muslim dengan anak Nabi Nuh A.S yang kufur. Justeru kata mereka, perbandingan ini adalah salah dan tidak tepat.
● Sedangkan jika diamati daripada kenyataan Tuan Presiden, beliau tidak menyebut langsung kesamaan antara dua individu yang dibandingkan adalah kesyirikan dan kekufuran. Bahkan apa yang difahami, kesamaan antara mereka adalah ketidak bersamaan anak dengan bahtera bapa.
● Mungkin pengkritik menggunakan Method Balaghah Bahasa Arab dalam mengkritik kenyataan tersebut. Lalu disimpulkan bahawa titik persamaan antara mereka adalah kekufuran.
● Dalam perbahasan Balaghah, melalui topik Tasybih (perbandingan atau perumpamaan), terdapat beberapa rukun yang digariskan oleh para Ulama sebelum melakukan perbandingan, seperti berikut :
i- Musyabbah (Perkara yang ingin dibandingkan)
ii- Musyabbah Bih (Dengan apa ia dibandingkan)
iii- Adat Tasybih (Alat perbandingan)
iv- Waj al-Syibh (Titik persamaan)
Saya tidak berhasrat untuk mengulas kesemua rukun ini secara terperinci, cukup sekadar mengukurnya melalui tulisan Tuan Presiden.
● Melalui tulisan Tuan Presiden:
i- Musyabbah dalam tulisan beliau adalah Ust Nik Omar
ii- Musyabbah Bih adalah anak Nabi Nuh A.S
iii- Tidak dinyatakan Adat Tasybih secara jelas, mungkin disebabkan penggunaan Bahasa Melayu yang tidaklah terperinci seperti Bahasa Arab. Pun begitu, menghilangkan Adat Tasybih adalah tidak mengapa, kerana dua rukun yang boleh dibuang dalam perbandingan adalah Adat Tasybih dan Wajh al-Syibh, dan konsep ini dipanggil al-Tasybih al-Baligh. Manakala rukun asasnya yang perlu ada adalah Musyabbah dan Musyabbah Bih.
iv- Wajh al-Syibh dalam kenyataan Tuan Presiden adalah ketidak bersamaan anak dalam bahtera bapa. Ini dapat difahami melalui kenyataan beliau:
“Al-Quran mengisahkan anak Nabi Nuh A.S yang memperlekehkan bahtera ayahnya dan lebih yakin kepada bukit yang dapat dilihat gagah boleh menyelamatkannya daripada taufan terbesar, maka bahtera ayahnya ditinggalkan”.
Bahkan hakikat ini yang terjadi, apabila Ust Nik Omar meninggalkan wadah perjuangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Rahimahullah dan menuju ke wadah perjuangan yang lain, seperti mana anak Nabi Nuh A.S meninggalkan bahtera bapanya menuju ke tempat lain yang beliau yakin. Ini point utama yang ingin digariskan oleh Tuan Presiden, bukannya isu kekufuran dan kesyirikan.
● Tidak disebutkan langsung persamaan antara kedua mereka adalah kekufuran dan kesyirikan. Bahkan pemahaman tersebut merupakan kesimpulan cepat yang tidak dinyatakan oleh penulis.
● Saya sendiri tidaklah menyalahkan orang awam dalam memahami isu ini, tetapi apabila melihat para Asatizah yang mahir dalam ilmu, serta pelajar Syariah yang semestinya mendalami ilmu Bahasa Arab dengan tekun, namun mereka tersalah memahami isu ini, sehingga memejamkan mata terhadap point-point lain dalam kenyataan yang sama. Maka disebabkan perkara itu saya merasakan perlu untuk dijelaskan isu ini melalui post ini.
● Segala yang baik daripada Allah S.W.T, dan salah silap daripada diri saya sendiri.
Wallahu’alam
(Petikan dari FB Abdul Muhaimin)