Gamak Nik Omar ceramah bersama penghina ayahnya?

- Advertisement -

SUNGGUH menyedihkan sekali melihat poster Ceramah Kebangkitan Rakyat Pakatan Harapan (PH) Parlimen Putrajaya yang dirancang untuk diadakan di Tapak Letak Kereta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya, pada jam 8.30 malam Khamis, 3 Mei ini, yang mula tersebar hari ini.

- Advertisement -

Mengikut poster tersebut, tiga orang penceramah dijadualkan akan berceramah pada malam itu, iaitu calon PH di P.125 Putrajaya, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan ahli baru PAN, Nik Omar Datuk Nik Abdul Aziz.

Bila melihat poster ini terus sahaja saya teringat kepada ceramah Tun Dr Mahathir di Padang Futsal Presint 9, Putrajaya, pada 27 April 2013. Dalam mana beliau berkempen untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional di P.125 Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Di dalam ceramah beliau itu, Tun Dr Mahathir bukan setakat menyelar hebat Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz malah menghina Almarhum dengan menyebut Almarhum “Tak tau ajar Islam, nama saja Tok Guru, bila bercakap, bohong, bila Tafsir Quran pun bohong, bila buat fatwa pun bohong”.

Malah, Tun Dr Mahathir juga sampai ke tahap menyebut Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz “Dah nyanyuk”, “Dah umur 82, nak berdiri pun dah tak boleh, masih nak bertanding lagi, sampai bila-bila. Apa jenis manusia ini”, yang ditambah dengan bahasa kasar “Suruh kita tukar, tukar la diri engkau dulu”.

Tidak dapat dibayangkan betapa tidak berhati perutnya pihak yang mengatur ceramah bersama antara anak Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dengan insan yang telah menghina Almarhum di tempat di mana hinaan itu dibuat. Apatah lagi bila tiada secubit kemaafan pun pernah diminta atas hinaan itu.

Beberapa orang rakan pernah bertanya apakah pihak tertentu ini sebenarnya mempunyai dendam peribadi tertentu terhadap Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz di atas apa sahaja yang mungkin telah Almarhum lakukan atau tidak lakukan dan mempergunakan Nik Omar untuk melunaskan dendam ini. Jawab saya, hanya Allah yang mengetahui hati manusia. – HARAKAHDAILY 2/5/2018

- Advertisement -