Berkhilaf dalam menjatuhkan Najib (Bah. 1) 

- Advertisement -

MUKADDIMAH

- Advertisement -

Hampir tidak ada khilaf bagi pihak yang bertanding dalam PRU14, bahawa DS Najib mestilah dijatuhkan. Beliau telah hilang kelayakan untuk mentadbir negara sebagai Perdana Menteri.

Pentadbiran beliau dipenuhi dengan pelbagai dakwaan salah guna kuasa, ketidakcekapan menguruskan sumber kekayaan negara dan merosakkan nama baik Malaysia di mata dunia.

Beberapa skandal kontroversi

Antara persoalan yang tidak berkesudahan yang dipersoalkan oleh pelbagai pihak sepanjang pentadbiran beliau ialah skandal 1MDB, duit ‘derma’ dalam akaun peribadi beliau berjumlah RM 2.6 billion, hubungan beliau dengan individu kontroversi Jho Low, pelaksanaan GST, dasar penghapusan subsidi minyak, kejatuhan ringgit yang ketara dan senarai panjang yang lain.

Kelicikan DS Najib menyelesaikan masalah

DS Najib sangat bijak dalam menyelesaikan ketidakpuasan hati rakyat yang mahukan jawapan dan pertanggungjawaban bagi isu-isu tersebut, iaitu dengan memperkenalkan pemberian BRIM.

“Tak perlu lagi soal banyak-banyak, ambillah BRIM. Ingat BRIM, ingatlah kebaikan dan kemurahan hati DS Najib”

Menukarkan keresahan kepada GST kepada harapan menggunung kepada BRIM. Strategi yang sangat luar biasa!

Strategi lain, kurangkan kemunculan DS Rosmah daripada media perdana. Satu lagi strategi yang nampak agak mudah dijangka, tetapi berkesan!

Jatuhkan DS Najib versi kem Umno dan BN 

Umno pada awalnya, cuba menjatuhkan DS Najib daripada dalam. Kredibiliti DS Najib dan isterinya, DS Rosmah dianggap sangat merosakkan Umno dan BN. 1MDB adalah mimpi ngeri kepada Umno dan BN.

Tun Mahathir beraksi aktif mengecam dasar-dasar DS Najib. TS Muhyiddin Yasin akhirnya secara terang-terangan menunjukkan sokongannya kepada Tun Mahathir. DS Shafie Apdal pun begitu. Harapan mereka ahli Umno akan bersama mereka.

Tindak balas DS Najib

Tetapi DS Najib membuat langkah di luar jangka. Beliau menentang semua yang menentangnya dengan langsung tidak memberi muka kepada mereka. Tiada lagi rundingan dan pujuk memujuk. Mereka semuanya dipecat. Semua jawatan mereka dalam kerajaan dan GLC juga ditarik balik secara langsung atau secara halus.

Akhirnya semua Umno yang menentang DS Najib menjadi kecut. Bimbang mereka juga akan kehilangan jawatan dan kemudahan seperti Tun Mahathir dan TS Muhyiddin.

DS Najib yang dilihat tidak mampu menentang Tun Mahathir, akhirnya telah membuat pukulan ‘Knock Out‘ ke atas bekas bosnya itu!

Sungguh tidak dijangka

Umno dan BN cuba terus hidup bersama DS Najib. Akhirnya, orang Umno yang tidak sukakan DS Najib terpaksa menyukainya dan mempertahankannya. Jika Najib dan BN tumbang dalam dalam PRU ke-14, mereka juga akan turut tumbang. PRU ke-14 adalah peringkat ikhtiar hidup bagi orang Umno.

Menggugurkan DS Najib boleh difikirkan semula jika BN menang. Mungkin percaturan baru boleh diatur semasa proses pelantikan PM yang baru nanti.

Komponen BN yang lain terpaksa membiarkan Umno yang menguruskan DS Najib. Mereka tidak ada pencapaian yang membanggakan pada PRU ke-13 yang lalu. Oleh itu, kuasa desakan mereka adalah kecil. Bahkan mereka juga berharap kepada ihsan DS Najib dalam banyak aspek untuk menguatkan semula kedudukan mereka.

Tapi, jangan perkecilkan kelicikan DS Najib. Dia jauh lebih licik daripada yang dijangka! Pendek kata Umno dan BN dalam genggaman kemas DS Najib.

(Bersambung…) 

ZAKARIA ISMAIL 
AJK PAS Kawasan Marang
2 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 2/5/2018

- Advertisement -