Pemuda tampil calon dan tawaran “Sedia Memerintah”

- Advertisement -

PENYERTAAN Pemuda PAS pada PRU14 membawa misi besar untuk kembali menerajui pemerintahan Kerajaan Negeri Perak. Tekad memimpin ini telah kami ikrarkan sejak Muktamar 2015 lalu dengan mengangkat tema “Sedia Memerintah”.

- Advertisement -

Merealisasikan usaha ke arah itu, kami mewakilkan calon anak muda untuk bertanding di 11 kerusi Dun dan Parlimen. Komitmen perubahan untuk negeri tercinta ini juga kami gariskan menerusi tawaran yang terdapat dalam Manifesto Perak Sejahtera.

Khusus kepada generasi muda dan amnya seluruh rakyat Negeri Perak, kami siap sedia melaksana dan membangunkan enam perkara utama. Pertama; Pembangunan Modal Insan dengan ketinggian ilmu dan sahsiah terpuji, sekali gus menangani kebejatan sosial anak muda.

Kedua; Pembangunan Kekeluargaan sebagai nukleus terpenting masyarakat sejahtera. Ia akan dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif dari mula mencari pasangan hingga pendidikan awal anak-anak. Iaitu berbentuk bantuan, rundingan, perkhidmatan dan seumpamanya.

Ketiga; Perumahan, yakni memastikan setiap keluarga Mampu Memiliki Rumah sebagai asas kehidupan. Ia akan dijayakan dengan kerajaan mengambil tanggungjawab membina Rumah Mampu Milik mencukupi dan berkualiti serta pembiayaan mengikut konsep Islam.

Keempat; Kerjaya iaitu semua kepakaran rakyat akan dimanfaat dan digembleng ke arah membangunkan negeri. Kerajaan akan bertindak dengan memastikan setiap individu diserapkan kompetensinya mengikut sektor yang dijana ke arah guna tenaga maksimum.

Kelima; Kos Sara Hidup yang membebani setiap rakyat akan ditangani dengan memastikan pengagihan adil dari sumber mahsul dan kekayaan bumi Perak. Bantuan-bantuan khas yang pelbagai ke arah memberdayakan individu dan keluarga akan diperkasakan.

Keenam; Sukan akan dijadikan pemangkin ke arah menyatukan rakyat dan menjana kehidupan positif. Untuk itu, selain prasarana, kami juga menawarkan pelbagai program pembangunan yang akan dilaksanakan sehingga ke peringkat komuniti atau kampung.

Semua ini adalah janji yang kami optimis melaksanakannya sebagai sebahagian usaha kesejahteraan rakyat dan negeri. Ia mampu dilaksanakan dengan bukan sahaja pendapatan sedia ada, bahkan menerusi urus tadbir yang cekap dan berintegriti.

Sekali gus, ini adalah jaminan kami menghapus segala bentuk penyelewengan, ketirisan, kegagalan, kepentingan diri, pilih kasih, berat sebelah serta pelbagai kekecewaan rakyat dengan pemerintahan yang bertanggungjawab, berkasih sayang dan menghormati.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
“Sedia Memerintah”

ABD QAHAR SYAMS
Pemangku Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 30/4/2018

- Advertisement -