Kerajaan mesti tangani kenaikan harga barang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan sepatutnya menangani masalah kenaikan harga barangan.

- Advertisement -

Beliau menambah sekiranya kerajaan menetapkan harga bagi barangan, maka peniaga tidak akan menjual barangan dengan harga yang melampaui batas.

“Kerajaan boleh bertindak dengan kuasa kerajaan,” ujar beliau ketika ceramah umum di pekarangan Pasar Binjai Rendah, Marang, kelmarin yang disiarkan menerusi laman Facebook.

Katanya, kenaikan harga barang adalah disebabkan oleh barangan tempatan banyak dieksport ke luar negara dan mendapat keuntungan yang banyak.

“Bila tauke-tauke yang eksport barang ke luar negeri dapat untung yang banyak maka dia jual mahal kepada penduduk tempatan. Ini jadi begitu maka kerajaan kena kawal dalam masalah ini,” ujar beliau.

Kerajaan tidak pandai mengurus

Menurutnya, kerajaan tidak pandai mengurus negara kerana tidak mewujudkan projek hiliran.

Katanya, projek hiliran tersebut adalah dengan maksud kerajaan sepatutnya membuatkan projek bagi menguruskan produk supaya ia mengalir dalam pasaran

Beliau menambah bahawa kerajaan perlu membuka industri supaya dapat menambah nilai barangan tersebut

Beliau memberi contoh buah-buahan tempatan boleh dibuat gel dan melalui penambahan nilai tersebut, kerajaan boleh menarik pelabur untuk melabur dan membuka kilang.

“Apa yang berlaku pada hari ini, kerajaan membiarkan orang tengah yang mencari kesempatan untuk dapat untung banyak.

“Dia beli dari sumber, dari nelayan, daripada orang kampung, beli dengan harga yang murah. Dia jual dengan harga yang mahal,” ujar beliau.

Beliau menerangkan bahawa China yang memiliki 1 billion penduduk mampu bersaing dengan Amerika Syarikat dari sudut ekonomi adalah disebabkan barangan mereka yang dipasarkan di pasaran China sendiri.

Menurut beliau juga, Singapura merupakan orang tengah bagi pasaran ekonomi barangan di Asia Tenggara.

Kenaikan harga minyak beri kesan kepada harga barang

Tuan Guru menyebutkan bahawa antara sebab kenaikan harga barang adalah disebabkan oleh peningkatan harga minyak.

“Minyak Malaysia ni baik, yang tinggi mutunya, boleh guna untuk kapal terbang minyak Malaysia ni, harga dia mahal, bukan guna untuk kereta,” ujarnya lagi.

Beliau memberikan cadangan sekiranya dibuka loji penapisan minyak di Malaysia dan menjadi pengedar minyak, maka harga minyak akan turun dengan sendirinya.

Menurutnya, harga barang juga akan menurun atas sebab kos pengangkutan barangan akan menurun dengan menurunnya harga minyak yang digunakan kenderaan.

Turut bersama beliau adalah calon PAS bagi Dun Ru Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ustaz Mohd Nor Hamzah (Bukit Payong), Ustaz Ariffin Deraman (Alor Limbat) dan Ustaz Sulaiman Sulong (Pengkalan Berangan).

Inflasi pada tahun 2018 diunjur pada paras 2.5% oleh Rating Agency Malaysia Berhad (RAM Ratings) dengan inflasi makanan dijangka akan meningkat lebih pantas tahun ini berikutan penggunaan lebih kukuh dan kesan limpahan daripada semakan tarif gas yang meningkat. – HARAKAHDAILY 30/4/2018

- Advertisement -