Tiga Dato’ bertanding Dun Ladang

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: Seramai tiga calon berpangkat Dato’ akan bertanding merebut Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.
 
Penyandangnya dan calon PAS Dun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, bagaimana pun tetap yakin dengan PAS mampu pertahankan kemenangan tersebut.
 
Ini kerana menurutnya, selain gerak kerja parti yang berterusan, isu mengenai persempadanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut memberi kelebihan kepada PAS di Dun Ladang.
 
“Pecahan persempadanan kawasan pilihan raya sebahagian dari perancangan parti pemerintah. Mereka terlepas pandang rupanya apa yang berlaku di Dun Ladang. 
 
“Ada satu tempat namanya Masjid Haji Kadir yang terletak bersebelahan dengan Kampung Pasir Panjang. Sebelum ini, kita (PAS) tak tahu, Umno tak tahu, rupanya terdapat 460 pengundi di kawasan (Masjid Haji Kadir)  itu masuk dalam Dun Ladang. 
 
“Baharu beberapa hari lalu, kita sedar tentang angka itu dan lebih dua pertiga adalah penyokong PAS, Alhamdulillah,” ujarnya yang pernah menang dengan kelebihan majoriti 924 undi pada PRU13 lalu.
 
Selain itu terangnya, perkembangan mutakhir ini sokongan 2,000 pengundi bukan Melayu yang terdapat di Dun Ladang semakin meningkat dan positif kepada PAS.
 
Beliau menjelaskan pada PRU13 lalu, Dun Ladang pernah mencipta rekod cemerlang kerana menang di semua lapan Unit Peti Undi (UPU) dan 33 dari 40 saluran mengundi.
 
“Maknanya, semua golong tua, muda dan wanita menyokong PAS dan Barisan Nasional (BN) kalah disemua tempat. 
 
“Tahun 2018 ini, kita (PAS) hendak pertahankan rekod kemenangan itu. Kita lebih yakin boleh pertahankan kemenangan ini walaupun majoriti (PRU13) lalu kurang dari 1,000 undi.
 
“Jentera pilihan raya PAS Dun Ladang kali ini lebih kemas dan berkeadaan baik,” jelasnya.      
 
Namun katanya, PAS menghadapi sedikit cabaran apabila terdapat sejumlah 1,400 pengundi Pos di Dun Ladang dan rekod lalu parti itu hanya memperolehi 10 peratus undi Pos tersebut.
 
Antara calon parti yang bertanding pada PRU14 ini, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar (penyandang PAS), Dato’ Mohd Sabri Alwi (BN) dan Dato’ Zulkifli Muim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang mewakili Pakatan Harapan.
 
Pada PRU13 lalu, Dato’ Tengku Hassan mengalahkan calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid dengan majoriti 924 undi, berbanding keputusan PRU12 dengan majoriti 31 undi sahaja.
 
Hadir sama pada majlis itu, calon PAS Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamad @ Hashim dan Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Jefri Chua. -HARAKAHDAILY 29/4/2018
- Advertisement -