Nik Abduh dan Nik Omar

- Advertisement -

MUKADDIMAH

- Advertisement -

Kedua-duanya adik-beradik. Kedua-duanya anak al-Marhum TG Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disanjungi ramai. Satu PAS, satu PAN.

Tetapi tiada kata nista sesama mereka. Tiada cerca mencerca dan kecam mengecam sesama mereka. Tiada juga serang menyerang sesama mereka.

Kedua mereka banyak sekali mengajar kita tentang politik matang dan sejahtera. Namun begitu dalam PRU ke 14 ini, sikap dan pengalaman politik mereka menjadi taruhan.

Perbandingan dua Tokoh 

Nik Abduh sudah lama mencebur diri dalam politik. Sejak balik daripada belajar. Sejak adiknya, Nik Adli ditahan di bawah ISA. Sudah lama beliau menentang BN di barisan depan. Sejak daripada zaman al-Marhum ayahandanya. Beliau masih di barisan depan sehinggalah hari ini.

Nik Omar pula baru nak memulakan karier politik. Baru sekarang beliau memutuskan untuk menyertai politik di barisan hadapan. Perjuangan utama beliau ketika ini ialah menumbangkan PAS di Kelantan dan mendukung PH di Pusat.

Nik Abduh mempunyai pengaruh politik sendiri. Beliau pernah menjadi Ketua Pemuda PAS Malaysia dan ahli Parlimen Pasir Mas. Tulisannya mengulas mengenai politik negara begitu halus dan menarik. Sudut pandang beliau tentang politik semasa ada nilainya yang tersendiri.

Nik Omar pula masuk politik dalam keadaan “jika ditelan, mati emak. Jika diluah mati bapak”. Beliau menyertai politik kerana desakan pihak lain. Beliau didesak dan diberikan harapan oleh PAN Kelantan.

Oleh itu pengaruh beliau hanyalah semata-mata bergantung kepada kekuatan pengaruh al-Marhum ayahandanya, dan kelemahan yang dicanangkan oleh PAN kepada saudaranya. Pengaruhnya sendiri, masih belum nyata.

Misi menumbangkan PAS di Kelantan 

PH memberi harapan besar kepada Nik Omar untuk membina Kelantan yang lebih baik. Bahkan memberi harapan kepada beliau untuk menjadi MB Kelantan juga. ‘Gula-gula’ yang sangat manis.

Akhirnya, beliau akur dan memilih untuk bersama PAN. Beliau, akhirnya memilih untuk menumbangkan Kerajaan PAS di Kelantan. Dan berazam untuk mendirikan Kerajaan PAN bersama Tuan Haji Husam Musa dan Tuan Haji Wan Rahim.

Beliau akhirnya memilih untuk bersama Tun Mahathir juga, musuh ketat bapanya. Yang menghantar surat ugutan menghalang pelaksanaan Hudud di Kelantan kepada al-Marhum ayahandanya. Yang juga pernah meng’ISA’kan saudara kandungnya.

Perancangan besar PH untuk Malaysia dan Kelantan 

Apa yang mungkin kurang disedari oleh Nik Omar ialah beliau hanyalah satu bidak catur daripada ‘Grand Design‘ yang besar. Strategi besar yang disusun bersama oleh LKS, LGE, Tun M, Datuk Seri Azmin, Rafizi, Tuan Haji Husam dan Tuan Haji Wan Rahim. Iaitu misi menjatuhkan PAS di Kelantan.

Beliau mungkin kurang menyedari bahawa jika PAS tewas, PAN pun akan tewas juga. Kerana PAN hanya berkempen kepada khalayak orang PAS supaya tinggalkanlah PAS. Tiada kempen kepada orang Umno supaya masuk PAN. Jika begitu, Kelantan akan dimenangi BN. Adakah Nik Omar lebih suka BN memerintah Kelantan berbanding PAS?

Penutup

Dua calon. Dua jalan berbeza. Dua jalan yang membawa kesudahan yang sangat ketara perbezaannya.

Namun, rakyat Kelantanlah yang mesti bijak memilih. Setiap undi yang dibazirkan kepada PH di Kelantan, akan melemahkan PAS dan menguatkan BN di sana. Suatu adegan yang kita semua tidak mahu lihat!

ZAKARIA ISMAIL
29 April 2018 – HARAKAHDAILY 29/4/2018

- Advertisement -