Idea PAS hapus hutang lapuk PTPTN realistik

- Advertisement -

GOMBAK: “Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X dan seterusnya,” ini dipetik oleh Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin dalam artikel 153 Perlembagaan Malaysia, huraian 3.

- Advertisement -

Beliau yang merupakan calon PAS bagi parlimen Gombak, menyatakan demikian pada program Sembang Teh Tarik anjuran PAS di Keramat Pangsa semalam. Program itu turut disiarkan secara langsung di laman sosial. Turut hadir sama ialah calon Dun Hulu Kelang, Ustaz Farhan @ Kamalulhysham Mohd Suhut.

“Idea PAS untuk menghapuskan hutang lapuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu adalah realistik dan bukan merupakan sebuah tindakan populis sebagaimana tohmahan oleh segelintir pihak,” kata beliau.

Ia adalah bersandarkan kepada Artikel 153 dalam Perlembagaan Malaysia yang memperkatakan mengenai dasar hak bumiputera.

Kemudian beliau menambah bahawa banyak sistem alternatif yang mampu dilaksanakan tanpa bergantung pada PTPTN.

Penyakit utama dalam kalangan pemimpin Malaysia

“Setiap tahun RM30-RM40 bilion duit rakyat akan hilang kerana ketirisan, rasuah dan kebocoran daripada pembendaharaan negara,” katanya.

Tambah beliau, jika PAS bersama Gagasan Sejahtera diberikan amanah untuk memerintah Malaysia, pasti simpanan RM30-RM40 bilion yang sering bocor itu akan ada dan tiada tiada defisit fiskal dalam perbelanjaan negara.

Ini, katanya kerana telah dibuktikan bahawa pemimpin PAS dan Gerakan Sejahtera bebas daripada rasuah dan korupsi.

“Bila tiada defisit fiskal, tiadalah bertambah hutang, perbelanjaan akan jadi lebih berhemat, pendapatan negara akan semakin bertambah, dan ‘investor’ akan lebih masuk ke dalam negara,” jelasnya.

Menurut beliau, jika negara bebas daripada rasuah dan rancu-rancu kleptokrasi ia akan membuatkan keuntungan negara akan semakin meningkat.

Hapuskan GST dan pulangkan hak kepada rakyat

“PAS mengambil pendekatan bahawa apa saja yang menjadi hak rakyat, kita pulangkan kembali kepada rakyat.

“Sebab itu kami ambil pendekatan risiko iaitu dengan menidakkan dan hapuskan kadar 6% GST,” tegasnya.

Kemudian beliau menyanggah pertikaian Dato’ Seri Najib Razak tentang bagaimana pihak pembangkang akan mencari dana yang dapat daripada hasil GST jika GST dihapuskan kelak.

“Ini semua telah dijawab oleh PAS dalam Dokumen Hijau,” jelasnya.

Beliau menyarankan agar rakyat meneliti lagi Dokumen Hijau kerana ia mencakup tiga isu utama dalam permasalahan rakyat: (1) Permasalahan berkait pelaksanaan GST; (2) Permasalahan berkaitan kejatuhan matawang ringgit; (3) Permasalahan berkaitan kenaikan kos sara hidup rakyat. – HARAKAHDAILY 29/4/2018

- Advertisement -