Cabaran: PAS Kedah tidak terkesan tohmahan PH

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS Kedah meletakkan calon-calonnya di semua 36 Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 15 Parlimen secara tidak langsung menangkis dakwaan kononnya PAS bekerjasama dengan Umno pada PRU14 kali ini.

- Advertisement -

Demikian ditegaskan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dalam sidang media di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, pagi tadi.

PAS juga, katanya berkeyakinan dapat mempertahankan kerusi-kerusi yang disandangnya pada PRU lalu di samping menambah kemenangan untuk memperolehi majoriti mutlak melayakkan PAS kembali menerajui Kedah pada PRU kali ini.

“PAS akan meneruskan kempen dalam tempoh 10 hari berbaki ini dengan kaedah Budaya Politik Matang Sejahtera yang terbukti memberi kesan positif kepada rakyat.

“PAS tidak sesekali menggunakan pendekatan kasar, agresif, menyemai kebencian, apatah lagi tohmahan serta fitnah terhadap pihak lawan,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya PAS juga tidak terkesan dengan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) kononnya PAS bukan cabaran bagi mereka malah akan terus komited memberi fokus kepada isu-isu rakyat serta memberi penjelasan berkenaan Manifesto PAS dan Gagasan Sejahtera.

Sementara itu tegasnya lagi, aktiviti kempen dan penerangan terus berjalan sejak sebelum Dewan Rakyat dibubarkan lagi dan kini diaktifkan lagi terutama menjelang 10 hari terakhir.

“Rakyat juga dapat menilai, PAS antara yang terdahulu atau kehadapan turun padang memberi penerangan berkenaan tawaran-tawaran manifesto berbanding parti lain.

“Dan setakat ini hampir 70 peratus gerak kerja berkenaan telah berjaya dilakukan,” ujar beliau lagi.

Dr Ahmad Fakhruddin yang juga merupakan calon PAS untuk Dun Pengkalan Kundur menegaskan setakat ini PAS tetap komited menyertai PRU sejak dahulu lagi dan tidak wujud sama sekali ‘sebagai pengacau’ sepertimana yang ditohmahkan parti PH.

Malah katanya lagi, parti-parti di dalam PH itu sebenarnya pengacau kerana ada di antaranya adalah parti baharu ditubuhkan.

“Sewajarnya sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kita meraikan potensi parti-parti politik yang bertanding, bukannya menafikan hak-hak parti lain sedangkan PAS menyertai PRU sudah 13 kali dan bukannya parti yang setahun jagung baru ditubuhkan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 29/4/2018

- Advertisement -