Buka rumah media PRU14

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: Harakah Terengganu dengan kerjasama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) telah membuka Rumah Media PRU14 PAS Negeri Terengganu dan Kawasan Kuala Terengganu.
 
Majlis pelancarannya disempurnakan oleh calon Parlimen PAS Kuala Terengganu yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim di Kampung Padang Hiliran, di sini kelmarin dahulu.
 
Katanya, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kali ini menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru di seluruh negara termasuk Terengganu.
 
Namun ujar Amzad, pertandingan tiga penjuru itu PAS masih mempunyai kelebihan tertentu yang menjadi faktor akan memberi kemenangan kepada parti.
 
“Bilik gerakan kita (PAS) sentiasa menilai perkembangan semasa melalui jentera-jentera parti kita. Bagaimana status, di peringkat akar umbi terutamanya. 
 
“Setakat ini saya boleh kata, InsyaAllah sekiranya mood (rakyat) yang ada sekarang ini berterusan. InsyaAllah, kita berkeyakinan khususnya di negeri Terengganu berkemampuan untuk kembali ke Wisma Darul Iman,” tegasnya.
 
Menurutnya, PAS mempunyai kajian angka yang spesifik cukup bilangan kerusi dan bukan andaian semata-mata.
 
“Laporan bilik gerakan kita, jentera pengundi kempen yang berjalan. Kita mempunyai angka-angka yang spesifik dan bukan andaian. 
 
“Kita (PAS) mempunyai cukup bilangan kerusi untuk mengambil-alih pentadbiran negeri ini daripada Umno dan Barisan Nasional (BN),” jelasnya. 
 
Justeru kata beliau lagi, hanya PAS satu parti yang benar-benar stabil dan tidak ada masalah dalam pemilihan calon bertanding PRU14.
 
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Jefri Chua dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato Tengku Hassan Tengku Omar, yang juga calon penyandang bagi Dun tersebut. -HARAKAHDAILY 29/4/2018
- Advertisement -