Tiba masa wanita perlu beri undi kepada PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengundi wanita adalah kumpulan pengundi terbesar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-14 iaitu sebanyak 50.58 peratus, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

- Advertisement -

“Oleh itu kita menyeru kepada lebih 7 juta pengundi wanita di Malaysia bahawa sudah tiba masanya anda perlu berikan keyakinan kepada calon-calon parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam PRU yang ke-14 ini bersama dengan beberapa parti di bawah Gagasan Sejahtera.

“Undi kita akan menentukan nasib dan masa depan 28.72 juta anak-anak, suami dan orang tua kita nanti. Kita mahu semua wanita Malaysia meraikan bulan Ramadhan dan raya Aidilfitri nanti dengan ‘mood’ baru iaitu dengan emosi sejahtera,” ujar beliau di Majlis Pelancaran Manifesto Wanita Sejahtera di Sungai Buloh, malam tadi. (Foto di atas diambil daripada FB Dewan Muslimat PAS Malaysia.)

Beliau yang merupakan calon PAS bagi kerusi P107 Sungai Buloh menambah, rakyat Islam akan lebih berpeluang untuk menikmati ibadah bulan puasa dan bukanlah terlampau sibuk mencari duit untuk menanggung keluarga.

“Selain itu, kita lebih banyak masa untuk bermesra dan berkasih sayang dengan ahli keluarga dan lebih masa untuk sediakan juadah berbuka untuk anak-anak, suami, ibu bapa dengan air tangan sendiri.

“Malah, kita juga akan ada lebih duit untuk perbelanjaan sekolah selepas raya nanti dan lebih ruang untuk wanita bukan Islam merasai indahnya hidup bersama dengan suasana Islam sejahtera,” ujarnya lagi.

Katanya, PAS telah menunjukkan rekod mentadbir dengan baik di Kelantan selama lebih 27 tahun, dan pernah memerintah di Kedah, Terengganu di samping pernah berada dalam kerajaan di Kedah, Selangor serta Pulau Pinang.

“Laporan Audit Negara 2016, pejabat MB dan SUK negeri Kelantan mencapai skor 99.0 peratus dalam prestasi pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti. Perubahan politik yang ingin dibawa oleh Gagasan Sejahtera ini adalah perubahan sistem politik secara menyeluruh bukan hanya perubahan kepimpinan daripada individu kepada individu,” jelasnya lagi.

Oleh itu, beliau mengajak kepada semua pengundi wanita dan semua rakyat Malaysia, marilah bersama-sama memberikan undi kepercayaan kepada PAS bersama Gagasan Sejahtera dalam PRU14 nanti. – HARAKAHDAILY 27/4/2018

- Advertisement -