Untuk kedaulatan Islam, kesejahteraan ummah

asriDiwani
- Advertisement -

BERPOLITIK atau dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Siyasah (السياسة) merupakan tugasan manusia selaku khalifah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah S.W.T. Menerusi firman Allah dalam Surah al-Baqarah pada ayat ke-30:

- Advertisement -

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi””.

Berdasarkan perkataan ‘Khalifah’ yang terdapat pada ayat tersebut, Syeikh Abu Hasan Ali al-Nadwi menyatakan ia membawa maksud:

إقامة الدين وسياسة الدنيا به

“Mendirikan agama dan menguruskan dunia dengan (panduan) agama”

Perkataan al-Siyasah juga digunakan oleh Nabi Muhammad S.A.W menerusi sabdanya iaitu:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ

“Kaum Bani Israel pada zaman dahulu pemimpin siasah (politik) mereka ialah para Anbiaa.”

[Riwayat al-Bukhari & Muslim]

Jelas menunjukkan para Rasul berdakwah dan berpolitik menghadapi rakyat dan kerajaan pada zaman masing-masing. Para Rasul juga mengumpulkan pengikut bagi membentuk jamaahnya yang diikat dengan baiah kepada kumpulan yang berjuang bersamanya supaya rakyat menerima Islam dan meminta kerajaan memerintah dengan Syariat Allah di zaman masing-masing.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi ber-Parlimen. Menjadi satu ketetapan dalam tempoh 5 tahun akan berlakunya Pilihan Raya Umum bagi rakyat mengundi dalam memilih pemimpin. Sementara parti yang menang dengan jumlah majoriti akan diberi mandat bagi memerintah negara.

Penyertaan PAS sejak PRU kali pertama pada 1955, adalah merupakan ijtihad siyasi bagi memilih pendekatan Muwajahah Silmiyyah iaitu penentangan secara harmoni. Ia lebih sesuai dengan realiti semasa di samping PAS bertegas tidak bersetuju dengan apa sahaja penipuan yang berlaku kerana ia bercanggah dengan batasan syariah dan nilai murni dalam kehidupan manusia.

Malah dalam kerangka di Malaysia, keterlibatan dalam PRU menjadi wasilah bagi menegakkan Syariat Allah untuk memastikan penggubalan sesuatu undang-undang yang selaras dengan kepatuhan syariah.

Ia disebut dalam kaedah:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو الواجب

“Sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan kecuali dengan sesuatu itu, maka ia menjadi wajib”

Justeru, kemenangan yang dikejar dalam PRU bukanlah semata-mata kemenangan kekuasaan yang melibatkan bilangan kerusi. PAS dengan dasar dan prinsipnya yang teguh bahawa kemenangan dalam PRU merupakan medium sebagai menyebarkan dakwah lebih meluas dan usaha menegakkan Syariat Allah secara menyeluruh. Inilah prinsip semua gerakan Islam dalam menyertai PRU yang ada di negara masing-masing. Marilah bersama-sama PAS untuk menyumbang ke arah kebangkitan Islam secara syumul.

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
8 Syaaban 1439H / 24 April 2018 (Selasa)

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 26/4/2018

- Advertisement -