Bekas pemimpin DAP tanding tiket PAS

- Advertisement -

RAUB: Bekas Naib Pengerusi DAP Raub Chin Choy Hee, 67, yang mengumumkan keluar daripada parti itu Ahad lepas, menyertai PAS, semalam.

- Advertisement -

Beliau menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan diberi amanah PAS Pahang bagi membawa cabaran parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri Tras pada Pilihan Raya Umum 9 Mei ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar berkata, Choy meletak jawatan sebagai pimpinan DAP baru-baru ini dan kini menyertai DHPP.

Choy berkata, beliau hilang kepercayaan kepada pemimpin tertinggi DAP kerana mengenepikan suara akar umbi di kawasan berkenaan.

Katanya, pemimpin DAP sebelum ini mengumumkan akan membawa calon dari Bentong bertanding di Dun Tras sehingga meminggirkan pemimpin tempatan.

“DAP membawa calon yang tidak dikenali untuk bertanding di Dun Tras,” katanya pada program itu.

Oleh itu Rosli berharap pengundi di Dun Tras memberi sokongan padu kepada calon PAS untuk menegakkan kerajaan yang adil untuk semua kaum.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, Pengerusi DHPP Pusat, N Balasubramaniam; Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal Al Ahmadi; Yang Dipertua PAS Raub, Bedu Rahim Ismail dan timbalanya Dr Mohd Nilam Abd Manaf,.

Dun Tras merupakan kubu kuat DAP di Pahang Barat. Selain itu Dun Triang di Bera.

Choy Hee tinggal di Kampung Sempalit, Raub memiliki Ijazah Undang-undang dari Universiti Metropolitan, London. Pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Sumpah Mahkamah Persekutuan Malaysia. – HARAKAHDAILY 25/4/2018

- Advertisement -