PRU14: Nazri Aziz dalam situasi mencabar

- Advertisement -

TANGGAL 24 April 2018 menyaksikan senarai lengkap calon-calon BN bagi Parlimen dan Dun Perak. Sebagaimana dijangka, Dato’ Seri Nazri Aziz terus mempertahankan Parlimen Padang Rengas buat kali kelima.

- Advertisement -

Dato’ Seri Nazri Aziz yang terkenal dengan karakter keras dan berterus-terang itu sering muncul di media dengan ayat-ayat pedas. Bukan setakat musuh BN yang diserangnya bahkan tokoh tertentu daripada parti komponen BN juga turut menjadi mangsa. Kita semua tahu isu beliau dengan MCA sebelum ini ‘berakhir’ tanpa sebarang ucapan maaf.

Dato’ Seri Nazri Aziz adalah pemimpin senior BN. Beliau menduduki kerusi Parlimen Padang Rengas (dahulunya Chenderoh) sejak PRU tahun 1995. Ini bermakna beliau sudah berada di kerusi tersebut untuk tempoh 23 tahun. Bagi FTV (first time voters) Parlimen Padang Rengas yang berumur 23 tahun, mereka lahir dan membesar dalam dakapan Dato’ Seri Nazri Aziz.

Selama tempoh 23 tahun itu, undi tertinggi yang beliau peroleh ialah pada PRU tahun 1995 (16,983 undi). Manakala undi terendah ialah pada PRU tahun 2004 (9,214 undi). Namun jika dilihat berdasarkan undi majoriti yang beliau perolehi, analisisnya lebih menarik.

Di sana wujud trend yang ketara bagi setiap dua PRU. Iaitu trend menaik dan menurun secara konsisten.

Pada penampilan sulung beliau pada PRU tahun 1995, beliau mendapat undi majoriti tertinggi. Namun pada PRU seterusnya tahun 1999, undi majoriti beliau menurun sebanyak 66% (menjadi 3,990 undi).

Pada PRU tahun 2004, undi majoriti beliau meningkat semula (menjadi 5,563 undi). Namun pada PRU seterusnya tahun 2008, undi majoriti beliau menurun sebanyak 69% (menjadi 1,749 undi).

Pada PRU tahun 2013, undi majoriti beliau meningkat semula (menjadi 2,230 undi). Jika trend yang sama berlaku, PRU tahun ini bakal menyaksikan undi majoriti beliau kembali menurun. Situasi terkini menunjukkan kebarangkalian trend menurun hampir pasti berlaku.

Krisis beliau dengan MCA sejak PRU ke-13 bakal mengurangkan undi Cina. Krisis beliau dengan Tun Mahathir bakal mengurangkan undi Melayu. Akta GST yang turut disokong oleh beliau selaku ahli Parlimen BN bakal mengurangkan undi Melayu, Cina dan India.

Kajian Lajnah Penyelidikan PAS Perak (LPPk) menunjukkan 71% daripada pengundi Umno Parlimen Padang Rengas setuju GST menambah beban kos sara hidup. Jika pengundi Umno sendiri merungut tentang GST, bayangkanlah apa yang bakal berlaku.

Berdasarkan kajian LPPk sekurang-kurangnya 6% pengundi Umno Parlimen Padang Rengas sedia untuk memberi undi kepada PAS dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU ke-14.

Jika undi majoriti Dato’ Seri Nazri Aziz pasti merudum, berapakah pula peratusnya? Penurunan sebelum ini ialah sebanyak 66% dan 69%. Jika ia kekal, undi majoriti beliau pada PRU ke-14 ialah sekitar 700 undi sahaja.

Jika Umno BN berniat menggunakan wang sebagai gula-gula kepada pengundi, ditakuti ia bakal berubah menjadi gula-gula getah. Diludah keluar selepas habis manisnya. Kajian LPPk menunjukkan 83% daripada pengundi Melayu Parlimen Padang Rengas yang menerima BR1M mengakui BR1M tidak dapat membantu menampung kos barang harian yang semakin mahal.

Sekiranya PAS berjaya membuat kejutan, Dato’ Seri Nazri Aziz bakal kecundang di Parlimen Padang Rengas. Dengan meletakkan doktor perubatan homeopati sebagai calon, Dr Azalan daripada PAS berpeluang merampas kerusi Parlimen Padang Rengas daripada beliau.

Benarlah bak kata Dato’ Seri Nazri Aziz yang dipetik oleh akhbar Berita Harian (20/2/2018) bahawa pertembungan pada PRU ke-14 ialah antara PAS dan Umno BN. Jika Pakatan Harapan yang diwakili oleh PKR bercita-cita ingin merampas Parlimen Padang Rengas, kajian LPPk menunjukkan sokongan pengundi Parlimen Padang Rengas terhadap parti-parti komponen PH sekitar 0.2% hingga 2.7% sahaja. – HARAKAHDAILY 24/4/2018

Penulis ialah Ketua Lajnah Penyelidikan PAS Perak.

- Advertisement -