PAS tawar cukai Islam yang lebih adil

asriDiwani
- Advertisement -

DI ANTARA 20 tawaran Manifesto PAS adalah menghapuskan cukai GST yang memberikan bebanan ke atas seluruh rakyat termasuk kalangan orang miskin dalam kehidupan seharian mereka. Pada peringkat awal kerajaan mahu melaksanakan GST, PAS telah membantah dan menganggap ia satu cukai yang zalim dan berorientasikan Sistem Kapitalis.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan dengan redha di antara kamu.”

[an-Nisa’: 29]

PAS telah menawarkan satu alternatif cukai Islam yang berkonsepkan panduan zakat yang lebih dinamik dan adil. Ini kerana cukai Islam yang berpandukan model zakat mengemukakan prinsipnya:

i.     Harta tidak boleh berlegar kalangan kronisme orang kaya sahaja. Berdasarkan firman Allah SWT:

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

“Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

[al-Hasyr: 7]

ii.     Golongan yang kaya sahaja dikenakan cukai, tidak ke atas orang faqir miskin. Berdasarkan Sabda Rasulullah S.A.W:

أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

“Sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas mereka sadaqah (zakat) pada harta mereka, diambil dari kalangan orang kaya mereka dan diagihkan kepada kalangan faqir mereka.”

[Riwayat Imam al-Bukhari]

Cukai alternatif yang dicadangkan oleh PAS adalah lebih adil dan berkebajikan ke atas rakyat terutamanya yang faqir miskin. Malah hasil kutipannya berpotensi melebihi RM 50 billion setahun.

Jelas tanpa GST, bukanlah kerajaan tidak mampu mendapatkan sumber hasil daripada cukai tetapi di dalam Islam ada percukaian yang lebih adil. Inilah yang mesti dilaksanakan dalam negara agar kemudharatan yang sedia ada dapat dihilangkan.

Dalam sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara, 1 undi adalah amat penting bagi memastikan kuasa politik itu diuruskan oleh pihak yang membawakan manfaat ke atas agama, ummah dan negara.

Oleh sebab itu, kewajipan mengundi adalah mustahak kerana apabila ia digunakan untuk kebaikan dan mencegah kemungkaran yang sedia ada, maka ia termasuk dalam konteks hadis Rasulullah S.A.W:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإيمَانِ

“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangan (kuasa), jika tidak berkemampuan maka dengan lisan, jika tidak mampu maka dengan hati, demikian adalah selemah-lemah iman.”

[Riwayat Muslim]

Selagimana kerajaan yang sedia ada terus mentadbir Malaysia, maka GST akan terus menjadi salah satu faktor utama cengkaman ekonomi ke atas rakyat marhaen. Sedangkan Islam memiliki sistem tersendiri yang lebih baik dan mendatangkan kebajikan untuk umum. Buatlah pilihan terbaik pada PRU14 ini.

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

7 Syaaban 1439H / 23 April 2018 (Isnin)

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/4/2018

- Advertisement -