Anjakan paradigma bersama PAS, Gagasan Sejahtera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Munculnya pelbagai gelaran ataupun pandangan terhadap politik menyebabkan rakyat perlu membuat satu anjakan supaya politik menjurus kepada nilai-nilai murni selaras dianjurkan oleh Allah SWT melalui Nabi SAW, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang dikurniakan oleh Allah SWT pelbagai sumber seperti sumber galian, hasil bumi yang subur, rakyat yang berbilang kaum, bangsa dan etnik serta nikmat keamanan daripada ancaman luar.

“Namun sumber-sumber ini sekiranya tidak dimanfaatkan secara optimum untuk diberikan peluang dan hasil kepada rakyat maka ia akan menimbulkan pelbagai masalah,” kata beliau di Majlis Pelancaran Dokumen Malaysia Sejahtera di Putrajaya, malam tadi. Hadir sama pada majlis yang disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu ialah Presiden Parti Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Presiden Berjasa, Abd Kadir Mamat.

Tambahnya, pada Januari hingga Mac 2017, kadar inflasi meningkat dari 3.2 peratus kepada 5.1 peratus dan data itu sangat membimbangkan.

Pada masa yang sama, ujarnya indeks persepsi rasuah (CPI) pada tahun 2017 merosot pada tangga 55 ke tangga 62 daripada 180 buah negara, antara penyebab berlakunya ketirisan dalam perbelanjaan negara yang dianggarkan sekitar RM20 bilion setahun.

Beliau juga mengulas mengenai masalah pengangguran sekitar 4.2 peratus adalah sesuatu yang sangat membimbangkan, begitu juga dengan peningkatan kos sara hidup menyebabkan kehidupan rakyat semakin terjejas.

Menurutnya, masalah yang berlaku itu melibatkan pelbagai bidang utama sama ada masalah urus tadbir negara, pengurusan ekonomi, keselamatan dan pembangunan nilai rakyat.

“Anjakan paradigma ini perlu dilakukan supaya kita meninggalkan budaya politik penjajah dengan membawa Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagaskan bersama di dalam Gagasan Sejahtera,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 24/4/2018

- Advertisement -