Allah suka anak yang muliakan bapa

subky
- Advertisement -

SEJURUS selepas abang saya, Ustaz Baharuddin Abdul Latif, mantan Setiausaha Agung PAS meninggal awal 90-an saya diberitahu, pesan terakhirnya kepada cucunya, Zia ul-Haq, jangan tinggalkan jamaah Islam.

- Advertisement -

Mafhumnya hendak sentiasa bersama jamaah Islam hidup dan mati.

Saya beritahu ini kepada TG Haji Abdl Hadi Awang ketika itu Timbalan Presiden PAS. Beliau amat gembira dengan pesan terakhir rakan seperjuangannya itu kepada anak cucunya.

Ia mengingatkan saya kepada wasiat Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub. Menjelang kematian mereka dipesannya kepada anak cucu yang berkumpul di sisi mereka, hendaklah masing-masing mati dalam Islam.

Pada hal dua putera Nabi Ibrahim tentu diketahuinya menjadi nabi, Nabi Ismail dan Nabi Ishak. Cucunya juga jadi nabi, Nabi Yaakub. Nabi Yaakub tahu anaknya Yusuf menjadi nabi. Tentu ada hikmahnya mengingatkan supaya masing-masing hidup dan mati dalam Islam kerana tiada jaminan sekalian zuriat mereka jadi imam.

Abang saya tiada harta unuk diwasiatkan kepada anak dan cucunya. Yang ada dia meninggalkan jamaah Islam, PAS yang disertainya sejak muda hinggalah matinya. Saya kira abang saya sedikit sebanyak mengikut apa yang Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub ingatkan anak-anaknya menjelang matinya.

Saya percaya abang saya memang berpesan begitu kepada cucunya. Sekalipun ia disampai kepada seorang cucu, tetapi ia pesan kepada semua.

Saya ingatkan kepada anak-anaknya yang ramai bahawa bapa mereka adalah orang yang hadir pada penubuhan PAS tahun 1951. Ia satu penghormatan Allah kepadanya. Haji Yusof Rawa, TG Nik Aziz, Ustaz Fadzil Noor dan TG Haji Hadi tidak dapat peluang itu. Maka wajarlah anak cucunya bersyukur dan memelihara rahmat bapanya.

Lebih sejuta ahli PAS sekarang dan ribuan lagi yang menyokongnya hari ini adalah menyambut bangga akan wadah Islam yang bapa mereka ikut tubuhkan 67 tahun dulu. Wajar berada dan menyumbang apa yang ada pada wadah itu. Jika tidak terdaya beri apa-apa jangan jauhkan diri pusaka yang dia tinggalkan. Tidak ada yang dapat diawariskan kepada anak-anak.

Jangan berjuta orang menjunjungnya, anak-anak tengok dari jauh saja.

Wajar diingatkan ramai anak-anak pemimpin PAS bukan saja tidak pedulikan PAS, sebaliknya menentang parti bapa masing-masing. Telah berlaku sejak dulu lagi Pesuruhjaya PAS Pahang 50-an dan 60-an, Dato’ Abu Samah dan Dato Yassin’, anaknya jadi menteri Umno dan orang kuat Umno.

Bukan asing anak-anak pembesar PAS meninggalkan PAS dan menentang PAS. Abang saya pernah tidak senang dengan pemimpin PAS dan dilucutkan jawatan parti, tetapi dia kekal dalam parti, kerana perbezaan adalah dengan pemimpin, ia tidak melayakkannya keluar PAS.

Saya takut anak-anak abang saya tercicir sama. Seorang pemimpin tinggi PAS tidak senang dengan seorang pmimpin yang lain yang terbilang pintarnya. Dia tulis surat kepada pemimpin itu. Katanya dia getik dengan politiknya, tetapi dia pernah mendengar bapanya memuji ilmu dan kepintarannya. Dia tidak boleh terus membencinya kerana teringatkan sebuah hadis bermaksud, anak yang disukai Allah ialah yang memuliakan apa yang ibu bapanya suka dan fikir.

Ibu bapa masing-masing sayang dan mati meninggalkan PAS, tiba-tiba anak cucu tidak hormati apa yang mereka suka. Takut jadi anak yang Nabi maksudkan itu.

Jika tidak suka sesuatu pada parti, diam macam abang saya dulu. Bila berubah pimpinan, dia gembira bersama PAS hingga mati. – HARAKAHDAILY 24/4/2018

- Advertisement -