PAS yakin ambil alih Terengganu

- Advertisement -

MARANG: Biarpun menjadi buah mulut bahawa calon-calon diketengahkan BN bagi PRU 14 kelihatan longgar dari banyak segi, PAS Terengganu tidak memandang enteng hal itu.

- Advertisement -

Bahkan, PAS Terengganu tetap melihat semua calon dinamakan BN itu adalah lawan yang kuat dan tidak sekali-sekali mengambil jalan mudah atau merasa selesa dengan tanggapan masyarakat.

Namun disebalik semua hitungan politik semasa, PAS tetap yakin akan mara dan kembali ke Wisma Darul Iman sebagai sebuah Kerajaan Teknokrat sebagaimana ilham Presiden PAS mahukan kerajaan yang menghargai kepakaran kakitangannya.

Mengulas berkenaan isu ini, calon PAS Dun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau mahukan jentera dan penyokong PAS untuk memusatkan persiapan yang semakin hampir kepada hari penentuan.

“PAS Terengganu tidak mahu ahli dan penyokong mengambil pusing berkenaan kelayakan atau latar belakang lawan PAS pada PRU nanti sehingga kita hilang fokus kepada gerak kerja kita.

“Saya menyeru kepada semua jentera-jentera parti agar tidak mempedulikan isu-isu sebegini kerana ia mungkin hanya mainan atau perangkap sesetengah pihak yang mungkin cuba mengalih perhatian kita.

“Saya yakin, kita mempunyai peluang yang sangat besar jika kita terus fokus dalam usaha kita mengalahkan semua lawan PAS,” tegas beliau.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu turut mengajak semua calon-calon yang bakal bertanding nanti untuk mengikut jejak langkah PAS dalam mengamalkan Budaya Politik Matang Sejahtera bagi menjaga keharmonian.

Tambah beliau lagi, seharusnya politik fitnah dan persepsi yang dijalankan oleh musuh PAS ketika ini, tidak mendapat tempat di hati pengundi-pengundi kerana ini adalah masa untuk membina negara yang lebih baik, bukan saling mengfitnah.

Ditanya berkenaan peluang beliau dalam berhadapan seorang bekas Senator dan juga seorang wanita yang mungkin mempengaruhi pengundi wanita, beliau hanya menjawab, beliau mempunyai keyakinan penuh kepada kehebatan jentera Muslimat Dun Bukit Payong. HARAKAHDAILY 23/4/2018

- Advertisement -