Contohi infak perjuangan seperti Abu Darda R.A

- Advertisement -
SETIAWANGSA: Ahli PAS diseru mencontohi Sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Abu Darda R.A yang menginfakkan 600 pohon kurma dalam mendukung usaha memenangkan Islam.
 
Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Farkhan Mohd Zin berkata, keikhlasan Abu Darda yang hanya semata-mata mengharap keredaan dan janji Allah mesti diikuti.
 
Apatah lagi ujarnya, penyertaan besar PAS pada PRU14 kali ini menuntut perbiayaan besar dari ahli sendiri dalam merintis dukungan bersama ke arah menjayakan misi PAS itu.
 
Beliau menegaskan demikian pada program Hi-Tea PAS Wilayah Persekutuan yang diadakan bagi tujuan kutipan dana PRU14 di Dewan KAFA, Surau Al-Ansar, Taman Seri Rampai, di sini semalam.
 
Jelas beliau juga, penyertaan PAS di sembilan kerusi dalam Wilayah Persekutuan menunjukkan kesungguhan untuk menang demi menegakkan syariat Allah dan membawa kesejahteraan kepada negara.
 
PAS Wilayah Persekutuan telah mengumumkan calonnya bertanding iaitu Ustaz Azhar Yahya (P.115 Batu), Razali Tumiran (P.116 Wangsa Maju) dan Ustaz Muhammad Soleh Abd Razak (P.117 Segambut).
 
Juga Ustaz Ubaid Abd Akla (P.118 Setiawangsa), Mohamad Nor Mohamad (P.119 Titiwangsa), Dr Rosni Adam (P.124 Bandar Tun Razak), Zainal Abidin Kidam (P.125 Putrajaya) dan Ahmad Junid Mohd Aling (P.166 Labuan).
 
Sementara itu, Calon PAS P.118 Setiawangsa, Ustaz Ubaid melahirkan kesungguhannya untuk menggalas amanah berat dipikulnya itu sebaik mungkin serta berbangga dengan kesatuan jentera pada gerak kerja PRU ini.
 
Majlis penuh ukhuwah dan semangat jihad fi sabilillah itu dihidangkan dengan pelbagai menu menarik antaranya nasi dagang dan laksa serta pelbagai kuih muih tradisi. HARAKAHDAILY 23/4/2018
- Advertisement -