PH Titiwangsa disaran jaga kesatuan sendiri

- Advertisement -
KEPUTUSAN PAS Memilih Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Mohammad Noor Mohammad sebagai calon di Parlimen Titiwangsa adalah keputusan tepat bagi membantu penduduk Kampung Bharu dan seluruh parlimen itu. Dakwaan Penolong Setiausaha Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Osman bahawa PAS mengemukakan calon kitar semula kerana ketandusan calon adalah dangkal dan sangat tidak berasas.
 
Bagi PRU14 ini PAS Wilayah Persekutuan menampil sembilan calon di kerusi dalam Wilayah Persekutuan. Manakala beberapa ahli dan pemimpin lain dari Wilayah seperti Ir Khairil Nizam Khairuddin, Nurul Islam Mohamed Yusof, Dr Ustaz Riduan Mohamad Noor, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Haji Nurkhuzaini Ab Rahman, dihantar bertanding di Selangor dan Terengganu.
 
PAS Wilayah Persekutuan mempunyai ramai pilihan calon dan Haji Mohammad Noor adalah pilihan terbaik untuk Titiwangsa yang mempunyai banyak isu berhubung soal tanah dan pembangunan seperti di Kampung  Bharu. Beliau adalah bekas pegawai Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA). Dengan pengalaman dan usaha beliau bersama-sama Almarhumah Dr Lo’lo’ Ghazali yang pernah menjadi Ahli Parlimen PAS di situ, mereka telah berjaya menghalang DBKL untuk mengambil tanah Kampung Bharu dengan nilai RM240 sekaki melalui Pelan Struktur KL 2020 yang dibentangkan pada 2008. 
 
Bantahan PAS yang diketuai beliau menyebabkan DBKL gagal menggadaikan tanah Kampung Bharu mengikut kehendak Menteri Wilayah Persekutuan dari Umno ketika itu. Tidak lupa juga bantahan PAS terhadap perobohan Kampung Chubadak dan Kampung Pasir di kawasan lain yang didalangi Umno. Semasa semua tindakan dan perjuangan di atas berlaku, calon Parti Peribumi Bersatu (PPBM) Rina Harun pun belum berada di situ.
 
Rina Harun ketika itu duduk jauh di luar Kuala Lumpur. Beliau ketika itu Ketua Puteri Umno Sepang sibuk menghasut rakyat menyerang Pakatan Rakyat. Apabila menyertai PPBM, beliau tiba-tiba dilantik jadi Ketua Srikandi PPBM menggantikan Anina Saadudin yang disingkirkan kerana berani tegur sikap diktaktor Mahathir.
 
Walaupun sudah diumumkan sebagai calon, namun ahli PPBM Titiwangsa menolak beliau kerana dianggap orang luar (dari Sepang). Hanya tempat lahir sahaja di Keramat, tapi tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti PPBM Keramat. Akar umbi PPBM pun tidak mengenali beliau. Muhamad Saleh Hashim pemimpin PPBM Titiwangsa dalam kenyataannya kepada Free Malaysia Today semalam menegaskan akan bertanding sebagai calon bebas melawan Rina.
 
Belum penamaan calon, mereka sudah bercakaran. PAS menasihatkan mereka menyelesaikan masalah dalaman mereka sebelum mempertikaikan kredibiliti calon PAS. Pemuda PAS Wilayah menyokong penuh pencalonan Haji Mohammad Noor Mohamad sebagai calon Titiwangsa bagi PRU14. Kepada Syed Badli jangan lupa, PKR sudah membuang Anwar dengan mengitar semula bekas Presiden Umno, Mahathir yang terbuang sebagai calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan.
 
Penduduk Titiwangsa wajar abaikan sahaja calon PPBM yang meminjam bendera PKR. Pilihan raya di Titiwangsa adalah pertandingan dua penjuru antara PAS dan BN. PKR sekadar pengacau dan cuba memecahkan undi PAS untuk memberi kemenangan mudah kepada BN. Maklumlah mereka juga parti biru, DNA mereka juga Umno.
 
MOHD SHAHIR ABU HASSAN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
 
HARAKAHDAILY 22/4/2018
- Advertisement -