Nasihat kepada semua pengundi

- Advertisement -

MALAYSIA merupakan sebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi ber-Parlimen. Menjadi satu ketetapan dalam tempoh 5 tahun akan berlakunya Pilihan Raya Umum bagi rakyat mengundi dalam memilih pemimpin dan parti yang memenangi dengan jumlah majoriti untuk diberikan mandat bagi memerintah negara.

- Advertisement -

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4, pilihan raya memberikan maksud membuat pilihan dengan cara mengundi yang dilakukan oleh semua orang. Dalam konteks Negara Malaysia, pilihan raya ialah satu sistem yang dilakukan oleh warganegara yang telah mencukupi syarat-syarat untuk melakukan undian ke atas calon-calon yang bertanding sama ada yang di peringkat negeri (Dun) atau Parlimen (Dewan Rakyat).

Sejak 1955, PAS menyertai PRU kali pertama yang diadakan dengan ijtihad siyasi bagi memilih pendekatan Muwajahah Silmiyyah yang lebih harmoni. Ia lebih sesuai dengan realiti semasa di samping PAS bertegas tidak bersetuju dengan apa sahaja penipuan yang berlaku kerana ia bercanggah dengan batasan syariah dan nilai murni dalam kehidupan manusia.

Kemenangan yang dikejar dalam PRU bukanlah semata-mata kemenangan kekuasaan yang melibatkan kerusi. PAS dengan dasar dan prinsipnya yang teguh bahawa kemenangan dalam PRU merupakan medium sebagai menyebarkan dakwah lebih meluas dan usaha menegakkan Syariat Allah secara menyeluruh. Inilah prinsip semua gerakan Islam dalam menyertai PRU yang ada di negara masing-masing.

Syeikh umar al-Timisani, mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin menegaskan:

“Sesungguhnya kita tidak mengejar kemenangan yang dinamakan dengan kemenangan politik semata-mata. Akan tetapi kita mengejar kemenangan yang hakikatnya pertolongan dari Allah. Maka apabila kita memasuki Dewan Rakyat atau Parlimen, kita tidak menganggap ia sebagai satu kemenangan mengikut pertimbangan manusia, akan tetapi ia sebagai mimbar atau medium untuk menyampaikan dakwah”

Bagi konteks mengundi dalam PRU, para Ulama menyifatkan ia mengambil hukum penyaksian menurut perpektif syariah. Ia sebagaimana yang ditegaskan oleh para Ulama dunia yang Muktabar seperti Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaily, Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni dan lain-lain lagi.

Maka, pengundi hendaklah memastikan undian yang diberikan adalah untuk agama dan kepentingan Maslahah negara yang umum. Bukannya atas dasar kepentingan peribadi, maslahat duniawi yang bertentangan dengan agama atau disogok dengan habuan material. Dalil penegasan penyaksian adalah mesti semata-mata kerana Allah dan kepentingan yang diperintah oleh Allah ialah:

وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ

“Dengan hendaklah kamu memberikan penyaksian kerana Allah”

[al-Tolaq: 2]

Adapun memberikan penyaksian yang tipu juga adalah diharamkan termasuk undian diberikan kepada calon yang diketahui tidak layak. Ini kerana undiannya tersebut menunjukkan bahawa ia memberikan saksi bahawa calon tersebut baik dan layak mentadbir, sedangkan tidak.

Ini berdasarkan umum Firman Allah yang melarang mana-mana perkataan termasuk penyaksian yang dusta:

وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

“Dan jauhilah perkataan yang dusta”

[al-Hajj: 30]

Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat memperingatkan setiap pengundi agar memberikan saksi dalam pengundian dengan benar yang memberikan manfaat kepada agama, ummah dan negara. Setiap pengundi hendaklah ingat bahawa setiap undi yang diberikan akan ditanya oleh Allah kelak.

Al-Syahid Imam Hasan al-Banna menyatakan:

“Memberikan undian adalah satu penyaksian, manusia akan ditanya mengenainya. Maka putuskanlah untuk memberikan undian berdasarkan hati dan akal kamu. Dan jadilah orang yang membantu kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik”.

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman kepada semua pengundi khususnya untuk keluar mengundi dalam melunaskan tanggungjawab mereka dari sudut agama dan sebagai seorang warganegara. Rakyat harus melihat perjuangan PAS yang komited dalam memperjuangkan agama dan maslahat negara seterusnya memberi mandat kepada PAS untuk mentadbir Malaysia pada PRU-14 ini.

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

5 Syaaban 1439H / 21 April 2018 (Sabtu) – HARAKAHDAILY 22/4/3018

- Advertisement -