Soal jawab tawaran Manifesto Gagasan Sejahtera (Siri 1)

- Advertisement -

KENAPA PAS nak hapus GST?

- Advertisement -

Banyak sebab. Antara yang paling besar adalah kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam. Konsep cukai dalam Islam adalah sama seperti zakat, iaitu mengenakan kepada golongan berada sahaja. Sedangkan GST dikenakan kepada semua rakyat yang bertindak sebagai pengguna akhir tidak kira kaya ataupun miskin.

Sepatutnya dengan alasan ini sahaja, orang Muslim tidak patut mempertikaikannya lagi. Walaupun ia memberi manfaat kepada negara, tetapi hukum tetap hukum. Menolak GST sama seperti menolak judi, menolak perbankan riba dan perniagaan arak meskipun ia menguntungkan.

Selain isu hukum, GST juga telah menbebankan rakyat. Terdapat industri kecil yang gulung tikar seawal sistem GST diperkenalkan lagi kerana tidak mampu menanggung kos pemasangan. GST telah menaikkan harga barang dan menyebabkan inflasi. Kos sara hidup semakin membebankan dalam keadaan pendapatan rakyat tidak bertambah. Justeru ia adalah cukai yang zalim.

Bagaimana nak tampung kehilangan perolehan negara daripada GST?

PAS mencadangkan dua bentuk cukai sebagamaina yang diperincikan di dalam Dokumen Hijau Siri 1 iaitu Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Pegangan Saham.

Cukai Simpanan Korporat dikenakan kepada simpanan badan korporat di mana-mana institusi kewangan negara dalam bentuk yang pelbagai. Mengikut maklumat yang diperolehi, nilai semasa simpanan korporat di Malaysia adalah kira-kira RM 500 – 600 billion. Cadangan supaya cukai ini dikutip pada kadar 2.5 peratus selari dengan kadar zakat simpanan.

Cukai Pegangan Saham pula dikenakan atas saham yang berada di Bursa Saham Nasional. Ia terbahagi kepada dua; sama ada dicukaikan atas nilai saham jika pegangan melebihi satu haul (tahun), ataupun dikenakan terus ke atas keuntungan transaksi saham jika pegangan kurang daripada satu haul. Sebagai maklumat, nilaian saham di Bursa hari ini mencecah kira-kira RM 1 – 2 trillion.

Jika dikenakan 2.5 peratus daripada kedua-dua saham ini, negara bakal menjana pendapatan baharu sebanyak RM 50 – 60 billion! Sedangkan GST hanya menyumbang RM 43 billion sahaja kepada negara. Dengan bentuk percukaian baharu ini, negara berjaya menambah lebih RM 10 billion dari pendapatan sedia ada.

Itu belum termasuk beberapa bentuk cukai baharu yang sedang dalam kajian. Contohnya cukai ke atas barangan mewah. Mengikut maklumat daripada kastam, item atau barang yang dikategorikan sebagai barangan mewah diniagakan di dalam Malaysia pada tahun lepas berjumlah lebih kurang RM 400 billion. Sekiranya dikenakan 5 peratus sahaja daripada jumlah tersebut, negara akan menambah pendapatan baharu sebanyak RM 20 billion lagi.

Selain itu, dasar penjimatan dan penskrukturan semula kontrak dan tender-tender kerajaan boleh membantu menambah pendapatan negara lagi. berdasarkan Laporan Audit Negara selama 10 tahun lepas berturut-turut, negara mengalami kadar ketirisan yang amat besar. Kita menganggarkan seikiranya ketirisan berjaya diatasi, jumlah pendapatan negara boleh ditambah dalam anggaran RM 10 ke RM 20 billion lagi.

Ada kemungkinan pasaran Saham dan kemasukan pelabur ke Malaysia akan berkurangan sekiranya cukai dikenakan kepada para Kapitalis dan golongan korporat. Mereka akan memindahkan wang mereka ke Bursa negara lain yang lebih mesra Kapitalis. Bagaimana PAS melihat perkara ini?

Ia sekadar andaian semata-mata. Banyak negara yang telah mengenakan cukai ke atas Saham, seperti cukai CGT (Capital Gain Tax) di New Zealand dan Share Capital Gain Tax di UK, namun tidak berlaku market crash sebagainya yang digembar-gemburkan. Kadar 2.5 peratus adalah kadar yang boleh diterima. Ada negara yang mengenakan dengan lebih tinggi tetapi pasaran Saham masih lagi stabil.

Selain dari kadar cukai, banyak lagi faktor ekosistem lain yang boleh mengikat pelabur kepada pasaran Malaysia. Contohnya iklim pelaburan dan pertumbuhan yang rancak, keselamatan, jenayah, political risk, kemudahan berurus niaga, ketelusan, pool of talents dan chain of supplies and vendors. Maka 2.5 peratus semata-mata tidak terlalu membawa kepada market crash. Kalau ada pun mungkin market shock sahaja, dan kebiasaannya akan pulih dalam tempoh yang singkat.

Antara pemegang Saham terbesar di Bursa adalah GLC dan syarikat yang berkait dengan kepentingan awam seperti KWSP, PNB dan Tabung Haji. Cukai yang dikenakan bakal memberi kesan kepada kadar Dividen dari caruman orang ramai. Bagaimana keadaan ini boleh diatasi?

PAS melihat dan mengambil kira sudut ini. Antara cadangan yang dipertimbangkan adalah dengan mengecualikan cukai kepada syarikat – syarikat yang berkaitan. Walau bagaimanapun, boleh dikenakan cukai terus kepada pencarum yang memiliki simpanan dalam amaun yang besar mencecah ratusan ribu ringgit.

Sudah tentu dapatan hasil negara akan berkurangan dari yang diunjurkan di atas. Walau bagaimanapun, ia tetap akan dapat menampung perbelanjaan negara dengan beberapa lagi cadangan sumber pendapatan tambahan negara sebagaimana yang dinyatakan juga di atas.

Berkenaan Cukai Simpanan Korporat, bagaimana kalau cukai-cukai syarikat ini tidak diletakkan di dalam simpanan akaun FD sebaliknya dialihkan kepada instrumen seperti bond/sukuk ataupun money market. Bagaimana cara untuk atasi masalah ini?

Perkara tersebut mudah diatasi dengan menetapkan definisi ‘Simpanan’ itu termasuk juga dalam bentuk akaun money market, sukuk/bond, atau apa-apa instrumen pelaburan yang dikenalpasti. Bahkan mengikut asas perakaunan, pelaburan dalam money market boleh juga diperakaunkan sebagai FD. Bond/Sukuk pula biasanya diperakaunkan sebagai “available for sale invesment”, “investment held to maturity” dan sebagainya yang masih boleh dikategorikan sebagai simpanan. Apa yang penting adalah pendefinisian simpanan.

Penerangan ini berdasarkan maklum balas yang diterima daripada orang ramai. Soalan terkumpul dibincangkan bersama kumpulan Teknokrat PAS di bidang ekonomi, kewangan dan bisnes. Sebarang soalan susulan boleh diajukan dan akan dijawab menerusi siri seterusnya.

3 Syaaban 1439
19 April 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 20/4/2018

- Advertisement -