Mujahid, tolong jangan politikkan semua benda

- Advertisement -

ORANG seperti Mujahid Rawalah yang menyebabkan ramai membenci politik. Semua benda mahu dipolitikkan. Sampaikan sumbangan pihak kerajaan atau pegawai kerajaan kepada institusi pendidikan PASTI bawah kelolaan PAS pun dijadikan isu politik. Terdesak sangat untuk kaitkan PAS dengan rasuah, sampai cipta isu tak masuk akal.

- Advertisement -

Mujahid mungkin tak tahu, pelajar PASTI terdiri daripada berbagai latar belakang keluarga. Ada yang Umno, ada PPBM, ada PKR, ada PAN, ada non-partisan, ada pegawai kerajaan, ahli akademik, Teknokrat, Birokrat, ahli Korporat, ahli kongsi gelap pun ada, bahkan non-Muslim pun ramai.

Walaupun PASTI dibawah kelolaan PAS, tapi kami tak jadikan PASTI sebagai wadah politik. Di PASTI kami ajarkan ilmu asas Islam kepada pelajar. Sesiapa sahaja yang mahukan anak mereka menerima pendidikan awal Islam, dipersilakan ke PASTI. PAS bukan parti yang berpolitik semata-mata. Kami ada kegiatan dakwah untuk menyebarkan Islam ke segenap ruang. Kami juga ada tugas tarbiyah, mendidik dan membentuk masyarakat ke arah sahsiah terpuji.

Mujahid, bukan semua benda kena fikir ikut kaca mata politik. Buang sekejap politik kebencian dan politik serang-menyerang dari diri itu. Letakkan sementara di tepi kaca mata politik itu. Kenakan juga kaca mata kemanusiaan, kaca mata negarawan, kaca mata agama dan kaca mata moral. Pasti anda akan berfikir dengan lebih waras. Amalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera #BPMS.

Mujahid kena faham, politik bukan sebab penyokong parti yang berbeza untuk berjauhan dan berputus saudara. Berbeza parti politik, kita tetap saudara dan manusia. Tiada masalah kalau orang Umno nak belanja orang PAS minum. Apa masalah kalau orang PAS terima BR1M. Pegawai kerajaan bukan semestinya orang Umno. Dan PASTI, bukan untuk ahli PAS sahaja.

Wahai Mujahid. Tenunglah wajah-wajah anak PASTI yang tak bersalah itu. Jangan perjudikan masa depan mereka hanya kerana matlamat politik kita. Tumpahkan sedikit rasa kasihan pada mereka. Apa dosa mereka pada kamu sampaikan bantuan untuk pendidikan mereka pun dipertikaikan.

Carilah isu lain untuk berpolitik. Kalau tak ada isu, diam sahaja. Berpolitik mesti berprinsip, bukan hidup atas manipulasi isu semata-mata.

Untuk selamatkan negara daripada rosak dipolitikingkan politikus gila politik, nyahkan segera orang seperti Mujahid Rawa dan konco-konconya dalam PRU14 nanti. Mereka tak layak menjadi pemimpin negara yang baik ini.

3 Syaaban 1439
19 April 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 19/4/2018

 

- Advertisement -