Adakah DAP mahu bersama BN?

- Advertisement -

AMAT kuat anti Islam DAP sehingga sanggup memastikan PAS tidak bersama Barisan Nasional (BN) memerintah negara.

- Advertisement -

Rancangan PAS untuk menjadi kingmaker dalam Pilihan raya Umum ke 14 ini dilihat oleh DAP sebagai selangkah kejayaan Islam yang dibawa PAS untuk memerintah negara.

DAP memahami kuasa king maker yang boleh menjadi penentu hala tuju negara sebagaimana kuasa dan pengaruh politiknya dalam Pakatan Harapan (PH).

Walaupun DAP tidak mengumumkan pihaknya menjadi pemegang kuasa nombor satu negara tetapi kuasa undi politik orang Cina dalam PH boleh menundukkan seorang Perdana Menteri kepada DAP.

Pemerintahan singkat 11 bulan Pakatan Rakyat (PR) di Perak, setelah menang Pilihan raya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008, menunjukkan penguasaan DAP dalam kerajaan Perak dan mempengaruhi keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS, sehingga timbul isu pajakan 999 tahun.

Perundingan kerusi dalam PH pula menyaksikan DAP langsung tidak tergugat dan tercabar walaupun DAP boleh mengambil balik kerusi yang dijanjikan kepada Parti Amanah Negara (Pan) di Parlimen Air Hitam.

Sebaliknya tiga parti Pan, PKR dan PPBM sampai sekarang bergaduh berebut kerusi. Ketiga parti ini akan berdiam bila DAP mencelah dan campurtangan.

DAP melihat ketiga parti ini bergantung kepadanya. Dalam masa sama DAP mengharapkan mereka boleh memberi performance untuk PH memerintah negara.

Setelah menyingkirkan PAS daripada PR, DAP tidak perlu bimbang kepada negara Islam PAS apabila menubuhkan gabungan baru PH yang terdiri parti mewakili Melayu, PPBM, PKR dan PAN bagi mengisi kekosongan PAS.

Namun keyakinan DAP untuk menguasai negara masih tumpul dengan terdedahnya pengakuan pakar strategisnya, Dr Wong Chin Huat bahawa bakal Perdana Menteri mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal bawa tsunami Melayu.

Baru baru ini, Chin Huat mengakui bahawa beliau meragui adanya tsunami Melayu dan menyebut tidak ada apa-apa bukti meyakinkan mengenai adanya tsunami Melayu.

Katanya, berdasarkan hasil persempadanan semula dan ketidakpastian tsunami Melayu ini, jangkaan selamat boleh dibuat bahawa PH tidak mempunyai peluang langsung untuk menang tanpa 85 peratus pengundi keluar mengundi.

Chin Huat mengetuai Program Kajian Politik di Penang Institute, sebuah badan pemikir besar didanai oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang, yang dipengerusikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Chin Huat menuduh dan menjangkakan, selepas kalah, parti dalam PH akan menyalahkan satu sama lain atas kehilangan PAS dengan PKR, PPBM dan Pan akan menjadi lebih pro-Melayu dan lebih menyokong agenda PAS.

Alasan ini dibuat untuk membenarkan DAP keluar daripada PH dan menggagalkan usaha gabungan pemerintahan BN dan PAS.

Sebagaimana kata Chin Huat; “DAP mungkin akan terpaksa meninggalkan pakatan pembangkang bagi menjaga tapak sekular dan bukan Islamnya.”

Maka tidak mustahil DAP akan bersama dengan BN dengan membawa tawaran dipihak mereka. Jika ini berlaku ia merupakan kejayaan DAP menyekat Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Ini akan menjadi kemenangan besar DAP serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mahu melihat Islam dimartabatkan kerana mereka tahu PAS membawa agenda Islam.

DAP boleh membawa PH bergabung dengan BN memerintah negara sekiranya masing masing parti BN atau PH gagal mendapat majoriti simple untuk memerintah.

Namun langkah ini boleh mengurangkan kuasa orang Cina dalam kerajaan kerana PPBM, PKR dan Pan juga akan menuntut jawatan dalam kabinet.

DAP mahu menjadi seperti PAS, `kingmaker’, kuasa penentu yang boleh tawar menawar bagi menentu negara terus sekular serta mengimplementasikan Malaysian Malaysia, merupakan roh perjuangan DAP walaupun tidak sepenuhnya.

Gabungan DAP dengan BN bukan pelik boleh berlaku kerana Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pernah menyuarakan kesediaan bekerjasama dengan pemimpin atasan BN.

Pemimpin veteran itu, sedia bertemu dengan pemimpin kanan MCA, Gerakan, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, untuk membincangkan cara “membersihkan dan menyingkirkan” segala keaiban dan kehinaan Malaysia akibat dilihat sebagai negara kleptokrasi.

Tawaran tersebut dilihat menarik untuk menyelesaikan penyamun tetapi seperti kata Chin Huat, DAP pastikan sekular terus bertapak di Malaysia dan bukannya Islam.

Jadi serangan PAS bergabung dengan Umno oleh PH merupakan senjata memerangi dan mengelirukan pengundi PAS supaya hilang kepercayaan kepada pemimpin PAS dan disamping dapat menarik pengundi PAS kepada PH.

Setiap pergerakan dan langkah atau strategi PAS diperhati DAP. Bukan kleptokrasi sangat yang digembar gemburkan DAP kerana mereka sudah boleh berkawan dengan ketua kleptokrasi. – HARAKAHDAILY 19/4/2018

- Advertisement -