Tun M: Heret bagasi hitam sejarah ubah kebobrokan BN?

tunM L
- Advertisement -

BAHANG pilihan raya semakin membuahkan kerancuan berfikir tokoh-tokoh Pakatan Harapan (PH), bahkan mereka sudah hilang fokus dan radar perjuangan apabila sudah tidak mengenali musuh sebenar mereka dalam pilihan raya yang bakal diadakan 9 Mei ini. Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan PAS sebagai musuh kecil sahaja kerana parti itu tidak berpeluang untuk menang menunjukkan PH tidak tahu siapa musuh sebenar. Dendam Mahathir belum sirna, bahkan menyindir Tuan Guru Presiden PAS supaya balik menjadi guru agama di kampung.

- Advertisement -

drriduanPH dan Tun dahulunya menganggap BN dan Najib Razak sebagai musuh, sekarang pula menganggap PAS juga sebagai musuh kerana PAS masuk bertanding dalam Pilihan raya Umum ke-14. Ironinya, PAS telah berpencak melawan rejim Perikatan/BN semenjak tahun 1955 (kecuali Pilihan Raya 1974), berbanding PH yang muncul kurang daripada dua tahun ini.

Kenyataan Tun memberi isyarat bahawa PAS adalah ancaman sebenar PH dan bukan BN. PAS dilihat sebagai pesaing yang mampu mencatat kemenangan cemerlang berdasarkan kepada prestasi semasa dan kekuatan akar umbi PAS. Sambutan terhadap PAS sangat menggebu terutama anak-anak muda dan kelompok kelas menengah Melayu. Lonjakan penerimaan terhadap PAS dari umat Islam semakin menggiurkan menjelang PRU14 yang menyaksikan tokoh-tokoh Umno seperti Dato’ Kamilia Ibrahim turut menyertai PAS. PAS dengan bergaya mengumumkan calon-calonnya pada malam 19 April yang menyaksikan kehebatan latar belakang calon pelbagai rentas segmen sama ada tokoh ilmuan, profesional tahap tinggi, teknokrat, ulama berkarisma, tokoh sukan negara, pembisnes tahap jutawan, aktivis tegar dan lain-lain kompetensi. Justeru, bagi mereka PAS perlu disingkirkan dan mesti dianggap sebagai musuh oleh pengundi-pengundi.

Tun Mahathir yang didukung oleh DAP serta cukong-cukong yang banyak merembat khazanah negara di era pemerintahannya cuba menafikan demokrasi sihat yang ditimbulkan oleh PAS dan berusaha memonopoli suasana politik negara dengan menanam persepsi bahawa hanya PH dan BN sahaja layak bertanding dalam PRU. Beliau cuba menyempitkankan ruang demokrasi yang luas dengan penyertaan parti-parti politik bertanding dalam PRU ke-14. Beliau cuba memberikan gambaran bahawa selain BN dan PH, parti itu adalah pengacau dan boleh dimusuhi. Dengan demikian pertarungan itu kononnya hanya antara BN dan PH, dua buah blok yang pemainnya mempunyai tendensi yang hampir sama, pelahap kuasa demi tembolok!
Dalam hal ini, PH dan Tun Mahathir perlu melihat PAS yang konsisten menganggap BN adalah musuh politik dan pilihan raya. PAS tidak berkawan dengan BN kerana jika benar PAS berkawan dengan BN seperti didakwa, PAS tidak akan meletakkan calon di 160 buah kerusi Parlimen di seluruh negara. Mustahil seorang kawan mahu memusuhi parti sahabat ‘kerjasamanya’ dan bertanding sesama sendiri. Jika begitu keadaannya, senarionya adalah PH juga kemungkinan besar boleh menang jika pertarungan 3 penjuru antara PAS (Gagasan Sejahtera), PH dan BN di kebanyakan tempat. Tidak mungkin PAS akan ‘membunuh’ sahabat jika berlaku kerjasama antara PAS-Umno.

Apa yang berlaku adalah PH takut dengan kebangkitan rakyat yang dipimpin oleh PAS, kerana PAS membawa misi mensejahterakan negara ini dengan Islam. Rakyat Malaysia sudah bosan dan muak dengan politik sampah BN/PH yang tidak berkesudahan dalam segenap perkara selama ini. Parti-parti politik yang ada mempamerkan aksi menjijikkan dengan masing-masing saling tuduh menuduh, budaya memfitnah, menjatuhkan maruah, pembunuhan karakter (character assasination), menyerang peribadi, ‘cah keting’ dan lain-lain. Rakyat muak dengan politik tanpa penyelesaian, kebencian dan permusuhan tanpa sempadan.

Tun mungkin sudah ketinggalan keretapi, bahawa PAS mengamalkan budaya politik baharu iaitu Politik Matang dan Sejahtera. Politik yang diamalkan PAS bersifat terbuka, mengkritik untuk membina, menasihat untuk menyelesaikan, berpolitik dem kesejahteraan rakyat terbanyak. Budaya ini yang rakyat mahukan dan sedang rakyat impikan selama ini. PAS dan Gagasan Sejahtera adalah blok ketiga yang ditunggu dan mempunyai tarikan pesonanya yang unik. Justeru itu, Tun, PH dan BN usah cemburu ketika PAS sedang berlari jauh meninggalkan budaya lapuk politik kepada politik solusi dan mengheret rakyat agar membuat perubahan dalam PRU14 ini. – HARAKAHDAILY 19/4/2018

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -