Membelek ramalan PAS gagal pertahan Kelantan

- Advertisement -

ANTARA saintis politik yang dikenali ramai di UKM termasuk Prof Madya Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff. Ramai menunggu pandangannya berkaitan isu politik semasa.

- Advertisement -

Biar pun sudah lama menetap di Kuala Lumpur, namun dialog masih menebal dialek Kelantan. Memang pun beliau berasal dari Machang.

Sebelum ini beliau kerap diundang ke negeri tumpah darahnya pada program bicara politik. Malah sebelum ini pun acap kali keluar kaca televisyen bagi mengupas isu-isu semasa.

Pernah disebut orang, Dr Agus seperti mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin kerajaan Kelantan. Alasannya kerana sering diundang sebagai moderator program wacana atau diskusi.

Biar pun sebagai moderator namun masih berpeluang mengupas isu-isu semasa dari kaca mata seorang sarjana.

Kata orang kampung Dr Agus pandai melempar bola tanggung. Namun selepas hari berganti minggu, bulan berganti tahun kelibat pensyarah UKM itu jarang kelihatan lagi di Kota Bharu.

Mungkin faktornya muncul ramai saintis politik muda. Namun tiba-tiba semalam beliau membuat kesimpulan mudah tanpa angkubah dengan ramalan mengejutkan.

“PAS adalah parti yang akan kalah teruk dalam PRU ini (dan) kerajaan PAS akan jatuh di Kelantan.

“Alasan kenapa saya berpandangan sedemikian telah saya hujahkan dalam kenyataan saya sebelum ini,” katanya di laman sosialnya semalam.

Malah beliau meramalkan pilihan raya kali ini sebagai pertembungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Pernah pada 21 April 2017 beliau menyenaraikan sebab Umno mampu merampas negeri itu.

Antaranya disebut kegagalan kerajaan PAS mengatasi masalah rakyat dan membangunkan negeri. Selain itu pemimpin Umno yang lebih peka dan kedudukan kewangan lebih kukuh.

Bagi Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan (PKS), Dr Wan Nik Wan Yussof setiap hujahan sarjana perlu ada data. Ada kajian di lapangan dengan bilangan responden tertentu.

“Namun kesimpulan yang diketengahkan Dr Agus tanpa ada angkubah itu. Maknanya hujah itu tidak lebih seperti cakap orang politik,” ujarnya.

Sedangkan apa yang berlaku di bawah, ada bilik gerakan Parti Amanah Negara (PAN) di Kota Bharu sudah bertukar kepada warna biru.

Sebelum ini boleh ditemui bendera PAN di Lundang. Ada pusat operasinya. Sekarang premis itu berkibar bendera dacing.

Mungkin juga pensyarah terbabit tidak dimaklum berapa kali PAN memindahkan pejabat perhubungan negeri. Begitu juga Pejabat PAN di Kuala Krai, hidup segan mati tak mahu.

Malah ada rumah mangsa banjir di Kuala Krai yang mengibar bendera PAN, namun sejak tahun lepas lagi bendera tidak kelihatan lagi.

Begitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin ramai lompat jendela. Di Kota Bharu pengasas parti itu sekarang menjadi penceramah PAS.

Khabarnya ada bahagian-bahagian lain termasuk Kubang Kerian mencongak hari mahu meninggalkan parti itu.

Di Gua Musang 24 April ini, lebih 100 lagi ahli dan penyokong Umno dijangka isytihar keluar parti. Biar apa pun kita hormat pandangan Dr Agus, biarpun dipertikai Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed dari UUM. – HARAKAHDAILY 18/4/2018

- Advertisement -