Felda dikekang Akta GSA

WAN ROHIMI
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan, Peneroka Bandar dan Orang Asal PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata Felda dikekang oleh Akta GSA yang diperkenalkan pada 27 April 1960.

- Advertisement -

Beliau menerangkan matlamat asal bagi akta itu adalah untuk memberikan tanah kepada warga Felda yang tidak memiliki tanah dengan menggunakan skim sewa milik atau bayaran secara tertangguh.

Katanya, PAS menyedari terdapat ramai peneroka yang tidak diberikan geran hak milik walaupun hutang bayaran kembali (BK) telah diselesaikan.

Tambahnya, PAS sebelum ini telah menghantar memorandum yang mengandungi aduan dan desakan daripada peneroka pada tahun lepas kepada kerajaan.

Memorandum tersebut, katanya tidak mendapat sebarang respons daripada kerajaan hingga sekarang..

Pewarisan tanah pusaka

“Waris-waris peneroka tidak dapat menerima harta pemilikan pusaka secara faraid kerana di sana dikekang pemilikan tanah-tanah di bawah Akta GSA di bawah kawasan yang digazetkan sebagai rancangan berkelompok,” ujarnya.

Beliau mengulas lanjut dengan menjelaskan apabila berlaku kematian peneroka asal, pewaris terpaksa melantik dua orang sebagai pentadbir untuk dinamakan sebagai pemilik baru di atas tanah yang telah diwariskan oleh peneroka asal.

Kata beliau, banyak kes-kes yang berlaku adalah pentadbir gagal untuk melunaskan tanggungjawab mereka dalam pembahagian hasil-hasil bulanan secara adil kepada waris-waris yang lain yang pada akhirnya mengakibatkan keharmonian keluarga peneroka.

Menurutnya lagi, Gagasan Sejahtera menawarkan untuk meminda Akta GSA.

Sekatan pemilikan tanah

Beliau berkata kerajaan tidak serius dalam isu membenarkan pecah sempadan atau pecah lot dan membenarkan pemilikan secara dokumen bersurat kepada pemilik rumah

“Kami PAS menjanjikan akan menyemak semula kedudukan tanah-tanah dan pemilikan dalam konteks tanah GSA khususnya kawasan-kawasan kediaman dengan memberikan kebenaran untuk pemilikan atau nama pemilik baru bagi rumah yang akan dibina di atas tanah-tanah kediaman di kawasan Felda akan diberikan pemilikan yang sempurna,” ujar beliau berkaitan solusi daripada Gagasan Sejahtera.

Isu pengurusan yang sangat menekan masyarakat Felda

Wan Rohimi menjelaskan bahawa tiada tindakan serius diambil pengurusan Felda bagi menjamin kualiti atau mutu gred jualan harga sawit pada kadar yang tinggi dan munasabah.

“Kita sedia maklum bahawa hampir di seluruh kawasan peneroka felda di seluruh negara sekarang ini berada dalam pusingan kedua bermaksud pokok-pokok sawit yang lama ada ditebang dan ditanam semula.

“Apa yang memberi kesan kepada mereka ialah bagi peneroka-peneroka yang menyerahkan urusan tanam semula dengan Felda. Yakni lebih daripada 100,000 peneroka menyerahkan urusan tanam semula dengan Felda.

“Akhirnya dengan mengambil kos sara hidup RM1,500 selama tiga tahun, akhirnya peneroka menerima penyata hutang yang sangat mengejutkan dan tidak munasabah,” ujar beliau menjelaskan sikap pengurusan Felda yang tidak kompeten.

Solusi Gagasan Sejahtera kepada Felda

Wan Rohimi menjelaskan bahawa solusi daripada Gagasan Sejahtera adalah dengan menawarkan untuk menghapuskan hutang-hutang yang tidak munasabah dan menilai semula hutang pokok dengan matlamat akhir untuk dihapuskan.

Terang beliau, Gagasan Sejahtera juga menawarkan input-input pertanian kepada dua peratus peneroka iaitu sekitar 17,000 orang yang tidak menyerahkan urusan kepada pengurusan Felda sebagai insentif kepada mereka yang mengusahakan sendiri tanaman sawit.

Menurutnya, Gagasan Sejahtera juga menawarkan kepada entiti-entiti korporat berkaitan Felda bahawa akan berlaku semakan semula yang terperinci untuk menyusun semula anak-anak syarikat Felda terutama yang perniagaannya bukan perniagaan teras Felda. – HARAKAHDAILY 19/4/2018

- Advertisement -