Dakwaan palsu PAN: Jabatan Hutan lapor polis

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Husam Musa kononnya kerajaan negeri melulus kawasan pembalakan baharu dianggap meleset sama sekali.

- Advertisement -

Ini kerana sejak 1 Mei 2013 sehingga sekarang tiada sebarang kelulusan baharu untuk menjalankan aktiviti pembalakan terutamanya Projek Ladang Hutan di kawasan Hutan Simpan Kekal. (Foto di atas hanya hiasan.)

Wan RoslanSetiausaha Politik Menteri Besar, Wan Roslan Wan Hamat berkata, projek ladang hutan terakhir yang dilulus sebelum 1 Mei 2013 hanya enam iaitu lima projek ladang getah klon balak dan satu projek ladang eucalyptus.

“Hanya enam dilulus sebelum 1 Mei 2013 dan selepas tarikh tersebut tidak ada sebarang kelulusan projek ladang,” katanya pada satu kenyataan media di sini hari ini.

Pada Isnin lepas Husam tiba-tiba muncul di Pejabat Menteri Besar menghantar notis bantahan kepada Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berhubung mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan.

Difahamkan beliau mahu berjumpa dengan Menteri Besar bagi menyerah notis tersebut, bagaimanapun ketika itu Ustaz Ahmad menghadiri mesyuarat.

Berikutan itu beliau menyerah notis terbabit kepada seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Dato’ Zahari Ibrahim menjelaskan tiada sebarang kelulusan baharu kawasan pembalakan pada mesyuarat terbabit.

Difahamkan pada hari sama pegawai Jabatan Perhutanan membuat laporan polis terhadap Husam kerana menyebarkan berita tidak benar.

Laporan polis dibuat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 kerana membuat dakwaan palsu. – HARAKAHDAILY 18/4/2018

- Advertisement -