PRU14: Perubahan versi siapa jadi pilihan?

- Advertisement -

GEREJA Katolik pun seru perubahan 

- Advertisement -

PRU kali ini, ramai membawa slogan perubahan. Bukan sahaja dari kalangan parti politik, termasuklah juga Bishop Gereja Katolik sendiri telah mengeluarkan pekeliling untuk jentera dan penganut Kristian membuat perubahan dalam PRU14 ini. Penglibatan institusi agama Kristian dalam politik negara semakin menyerlah.

Berubah bermakna tumbangkan BN 

Apabila disebut perubahan, ini bermakna seruan untuk menukar pemimpin sedia ada. BN yang terlalu lama memerintah memikul berbagai-bagai salah laku dan kepincangan yang semakin diketahui umum. Keadaan negara yang semakin merosot dari sudut ekonomi, sosial, pendidikan dan teknologi mendorong angin perubahan bertiup lebih kencang.

Pilih parti mana? 

Di kalangan penyeru kepada perubahan pula, timbul persoalan perubahan ke arah manakah yang mahu dilakukan? Secara lebih objektif, parti manakah yang harus dipilih? Ada beberapa pilihan di hadapan rakyat yang muak dengan BN sekarang. Antaranya PAS-Gagasan dan PH. Antara yang kecil adalah PSM, Warisan dan beberapa parti kecil di Sabah dan Sarawak.

Kenapa semua ini tidak bergabung sekali? Kerana ideologi perjuangan tidak sama. Kerana perubahan yang bakal dibawa tidak sama. Semua mahu jatuhkan BN, tapi tak sepakat dalam menentukan siapa akan naik selepas ini.

Kenapa tolak BN?

Sekiranya kita fokus kepada sebab rakyat menolak BN, rata-ratanya kerana tidak berpuas hati dengan urus tadbir dan korupsi. Justeru perubahan yang dituntut memerlukan mereka mencari parti manakah yang lebih baik daripada BN. Perbandingan harus dibuat berdasarkan kecekapan dan ketelusan urus tadbir.

PH tidak lebih baik dari BN

Apabila perbandingan dibuat, PH bukanlah pilihan yang sesuai. Mereka juga tidak terlepas daripada isu kecekapan dan ketelusan ini. Menurut SPRM, gabungan parti yang baru berusia setahun jagung itu sudah memiliki 21 kes rasuah.

Cukup membimbangkan kerana mereka bukan sahaja parti baru, tetapi kuasa pemerintahan mereka juga masih terhad kepada beberapa negeri sahaja. Bayangkan kalau usia mereka sama seperti BN. Bayangkan kuasa mereka sama seperti BN. Berapalah agaknya pemimpin mereka disiasat SPRM.

Baru memerintah Penang dua penggal, Ketua Menterinya sudah terpalit isu rasuah pembelian Banglo di bawah harga pasaran. Baru dua penggal memerintah Selangor, pemimpin muda PKR sudah berjaya memiliki rumah agam Disneyland di Ampang hingga disita SPRM. Tidak sampai sepenggal menjadi MB, Azmin sudah terpalit isu penyerahan semula tanah Ijok kepada pemaju zaman MB Muhammad Taib.

Mahathir jelaskan lagi rupa sebenar PH

Tambah mengharukan, PH sanggup bersekongkol dengan “Bapak Pelingkup Negara” (menurut bahasa Mat Sabu) iaitu Mahathir. Orang yang terkenal sebagai diktator dan pembela berbagai kroni dari zamannya sehingga kini. Walaupun dia bukan seorang billionaire, tetapi dalam tempoh pemerintahannya selama 22 tahun, beliau berjaya lahirkan empat orang anak bertaraf billionaire. Belum ada lagi rekod mana-mana billionaire yang boleh lahirkan empat anak sebagai billionaire sekali gus!

Kerana masalah-masalah inilah, ramai pemimpin PH meninggalkan pakatan tersebut. Antaranya Che Gu Bard, Otai Reformasi, wakil-wakil rakyat DAP dan ramai lagi. Mereka tidak bersetuju dengan sikap Kapitalis, Nepotis dan Korupsi yang diamalkan parti lama mereka.

PAS tak rela pikul 21 tahi PH 

Maka terjawablah kenapa PAS menolak untuk bersama PH. Selain dari isu prejudis terhadap Islam, ia juga atas isu masalah integriti. Matlamat menumbangkan BN adalah untuk mengatasi korupsi. Tetapi jika menggantikan dengan PH, apa manfaat yang rakyat akan dapat? Sama sahaja, dan mungkin lebih teruk!

Laporan SPRM terbaru menunjukkan PAS sifar kes rasuah. Bayangkan jika waktu itu PAS bersama PH, sudah tentu imej bersih PAS bakal tercalar. PAS terpaksa memikul 21 tahi PH itu bersama. Satu tindakan yang tidak boleh diterima akal.

Jangan diperbodoh nafsu politikus 

Ya, kita semua mahu melihat Malaysia berubah kepada yang lebih baik. Tetapi anda perlu sedar, semata-mata menumbangkan BN tidak bermakna rakyat telah menang. Baca sejarah dan track record setiap parti untuk menilai apakah slogan perubahan yang mereka laungkan benar-benar tulus atau hanya satu pembodohan untuk mempergunakan rakyat demi kepentingan tersendiri.

Ingatkah lagi Langkah Kajang? Bagaimana rakyat diheret untuk turun mengundi semata-mata melampiaskan nafsu Anwar Ibrahim merampas jawatan MB dari Tan Sri Khalid Ibrahim. Sanggup direka fitnah 91 muka surat yang akhirnya meminta maaf selepas kantoi di mahkamah. Langsung tidak ada kaitan dengan kepentingan rakyat.

Ingat lagi kenyataan Mahathir kenapa beliau keluar Umno? Bukan kerana tidak berpuas hati dengan Umno, tetapi kerana bergaduh dengan Najib sahaja. Jelas katanya dulu, beliau mahu selamatkan Umno sahaja. Ini kerana Najib banyak mencantas kroni-kroni dan kaum kerabat beliau. Tetapi slogan membela rakyat dijadikan modal.

PAS tawarkan set kepimpinan negara yang bersih dan wawasan yang jelas 

PAS percaya masalah ekonomi negara dan rakyat akan dapat diselesaikan dengan barisan kepimpinan politik yang bersih. Negara sudah memiliki ramai pegawai dan kakitangan kerajaan yang profesional dan komited dengan tugas. Malangnya ia terhalang apabila datang campur tangan politik atasan. Orang politik hanya fikir projek untuk kroni dan poket sendiri, sehingga mengabaikan segala ketetapan dan idea bernas pegawai tinggi kerajaan untuk rakyat.

PAS cukup menghargai golongan kakitangan dan pegawai di peringkat administratif ini. Jika diberi peluang memerintah, mereka bakal diberi kebebasan mempraktiskan Profesionalismenya tanpa dikongkong oleh kepentingan nafsu politik. Mereka akan dipandu dengan dasar-dasar eksekutif Islam yang bermatlamatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, bukan poket kroni dan politikus.

Dengan kepimpinan sifar isu rasuah berbanding BN dan PH, PAS percaya inilah tawaran terbaik buat rakyat Malaysia melihat masa depan negara yang lebih baik. Berasaskan rekod SPRM, tiada parti lain boleh tawarkan barisan kepimpinan yang bersih sebegini. Negara bukan berhadapan masalah ketidakcukupan sumber kekayaan, tetapi masalahnya adalah bagaimana mengurus kekayaan dengan jujur dan telus.

Bukan setakat itu, PAS juga telah memiliki kerangka dasar pemerintahan negara yang holistik. Dikenali sebagai Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051). Pihak administratif dan birokrat tidak perlu bimbang bagaimana PAS mahu memerintah nanti, kerana semua dokumen yang diperlukan telah disiapkan rapi. Menunggu mandat daripada rakyat sahaja untuk melaksanakannya. Semoga kita membuat pilihan yang tepat.

2 Syaaban 1439
17 April 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 17/4/2018

- Advertisement -