PASRelief komited isu kemanusiaan antarabangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PASRelief sangat komited dalam mengendalikan isu pelarian khususnya menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin, Syria, Iraq dan Arakan, Myanmar, kata AJK PAS Pusat, Muhammad Sanusi Mohd Nor.

- Advertisement -

PAS Humanitarian Affair & Relief Centre – PASRelief adalah sebuah penubuhan khas di bawah Lajnah Antarabangsa PAS Pusat bagi menangani isu-isu kemanusiaan serantau dan antarabangsa.

“Alhamdulillah bulan lepas, kita telah menghantar satu kiriman wang ke ghouta Syria yang berjumlah seratus ribu ringgit, kira-kira empat puluh lima ribu dollar Amerika untuk membantu mangsa-mangsa peperangan,” katanya yang merupakan Pengerusi PASRelief dalam program Bicara Malaysia Sejahtera, malam tadi.

Beliau menceritakan bahawa sebelum ini pasukan PASRelief telah berjaya masuk ke Syria melalui Turki bersama dengan beberapa NGO kemanusiaan yang lain.

Sehubungan itu, katanya PAS Relief dan NGO yang terlibat telah berjaya mengagihkan dua kontena bahan makanan pada musim sejuk Januari lalu.

Menurutnya lagi, PAS juga telah berjaya mengumpul derma dari seluruh rakyat Malaysia yang berjumlah kira-kira RM2.5 juta untuk dihantar ke kem-kem pelarian di Bangladesh.

Beliau seterusnya mewakili PAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menyumbang menerusi PASRelief bagi membantu umat Islam di seluruh dunia. – HARAKAHDAILY 18/4/2018

- Advertisement -