PAN Kelantan terdesak jaja nama Nik Omar

- Advertisement -

TINDAKAN pemimpin PAN Kelantan masih terus berusaha untuk memujuk anak Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar, bertanding di bawah tiket PAN dan menjanjikan jawatan Menteri Besar kepada beliau menunjukkan keterdesakan parti itu menghadapi PRU14.

- Advertisement -

Ia menjadi petanda jelas bahawa PAN Kelantan amat ketandusan pemimpin yang berwibawa untuk ditonjolkan sebagai calonnya dalam PRU14 sehingga terpaksa mengemis kepada Nik Omar walaupun beliau sebelum ini telah menyatakan tidak dapat menerima pencalonan tersebut.

Nik Omar sangat penting kepada kelangsungan politik PAN Kelantan kerana pemimpinnya mahu berpaut kepada nama dan pengaruh besar Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz yang boleh diperolehi melalui Nik Omar bagi dijadikan modal untuk mendapatkan sokongan rakyat Kelantan.

Nik Omar juga sangat penting kerana PAN Kelantan tidak mempunyai golongan ustaz dan ulama’ berpengaruh yang boleh ditonjolkan olehnya dalam PRU14 untuk meyakinkan rakyat Kelantan yang rata-ratanya pencinta agama bahawa ia boleh menggantikan PAS di negeri tersebut.

Sangat menghairankan bila PAN Kelantan yang sebelum ini sering melaungkan bahawa ia membawa imej Islam Progresif yang jauh berbeza dari PAS masih mahu berpaut kepada golongan ustaz dan ulama’ untuk ditonjolkan sebagai calon Menteri Besar seperti dilakukan oleh PAS.

Perkara ini sudah tentu akan merendahkan moral dan menjejaskan semangat pemimpin PAN Kelantan lain yang berjuang bermati-matian sebelum ini demi memajukan parti itu kerana mereka akhirnya tidak diyakini untuk dinobatkan sebagai calon dan bakal Menteri Besar.

PAN Kelantan sepatutnya menonjolkan golongan profesional sebagai calon Menteri Besar bagi membezakannya dari PAS, apatah lagi bila ia juga mempunyai beberapa tokoh demikian seperti Datuk Dr Abdul Halim Yusof dan Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah.

Bila PAN Kelantan terus-terusan mengharapkan kepada Nik Omar yang telah berulang kali menolak pelawaan menjadi ahli mahupun menjadi calonnya, maka ia sekali gus meletakkan parti itu dalam keadaan memalukan umpama pepatah Melayu “Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong”. – HARAKAHDAILY 17/4/2018

- Advertisement -