Cerita di dalam cerita

- Advertisement -

KISAHNYA berkisar tentang seorang jurutera yang baik, lurus dan paling utama sangat cerdik. Dia adalah anak kesayangan emak. Dia akan mengikut kata ibunya dalam apa jua keadaan. Biarpun ibunya tiada di sisi, dia akan tetap mematuhi arahan ibunya.

- Advertisement -

Sebagai contoh, jika ibunya berpesan, jangan memandu laju, pandu hanya 80 km/j, dia akan memastikan had laju itu dipatuhi. Begitulah dia, seorang anak yang baik yang tidak suka melanggar undang-undang. Dia seorang yang tegas dan mempunyai semangat patriotik yang sangat tinggi. Kita namakan dia sebagai Edi.

Walaupun begitu, Edi tetap seorang manusia biasa. Suatu hari, Edi memandu berseorangan ke suatu destinasi. Entah bagaimana, dia pada satu keadaan telah secara tidak sengaja, dia melanggar peraturan had laju lalu lintas.

Nasibnya memang kurang baik kerana tidak jauh daripada lokasi itu, sang algojo lalu lintas sedang mengadakan sekatan perangkap had laju. Maka, Edi pun ditahan oleh algojo lalu lintas itu.

Setelah diterangkan kesalahan dan Edi memahaminya dan mengaku salah. Sang algojo lalu lintas yang sangat ramah dan baik itu kemudiannya menawarkan kemudahan bayaran saman kepada Edi.

Kata sang algojo lalu lintas itu, jika encik mahu membayar saman di balai, encik mesti ke balai yang berada jauh dari sini yang akan memakan masa perjalanan encik. Saya yakin, saman itu tidak boleh dikurang jumlahnya.

Tetapi jika encik mahu lebih mudah, encik boleh bayar di sini dengan bayaran yang lebih murah, tawar sang algojo itu dengan senyum manis.

Ah, ini tawaran yang sangat baik. Ok! Jawab Edi pantas, bimbang tawaran itu ditutup. Saya bayar di sini, kata Edi bangga kerana walaupun dia melakukan kesalahan, dia sanggup membayarnya kepada kerajaan.

Maka beberapa keping not RM 50 bertukar tangan. Sang algojo dan Edi masing-masing tersenyum puas kerana mendapat apa yang mereka mahukan. Beberapa ketika Edi masih lagi tercegat di situ memerhatikan sang algojo itu mundar-mandir meneruskan tugasannya.

Setelah agak lama, sang algojo menyedari yang Edi masih berdiri di situ. Lalu dikata olehnya kepada Edi, tuan boleh pergi kalau tuan mahu, kita sudah selesai, dia memaklumkan.

Tetapi ternyata Edi masih belum selesai. Segera Edi bertanya kembali, mana resit bayarannya? Soalan itu membuatkan sang algojo itu tercengang, tetapi masih mampu mengawal keadaan.

Encik, kalau encik bayar di sini, kita tak keluarkan resit, katanya meyakinkan Edi. Oo, begitu jawab si Edi. Selesai bersalaman mesra dan setelah agak jauh memandu, si Edi yang masih berkerut-kerut dahinya, tiba-tiba berteriak, aku dah bagi rasuah dekat polis itu ke? Soalnya tanpa ada jawapan.

Saya bawakan cerita ini sebagai bentuk pengajaran kepada rakyat di Malaysia yang baik, lurus dan cerdik yang bencikan penyelewengan. Anda memang baik, tetapi terkadang tidak terkecuali menjadi mangsa penipuan orang-orang tertentu bagi mendapatkan sesuatu dengan cara yang haram.

Mereka menggunakan ayat yang manis, gaya badan yang menarik, tetapi mempunyai maksud yang menyeleweng. Si Edi ini adalah contoh bagaimana penipuan dilakukan. Menjanjikan bantuan, tetapi akhirnya dia ditipu.

Maka sedarlah rakyat Malaysia, sekarang ini, ketika musim PRU ini, banyak golongan seperti sang algojo yang tidak amanah itu sedang berkeliaran mencari mangsa. Anda baik, anda bencikan rasuah, tetapi anda tidak sedar yang anda ditipu untuk membantu golongan kaki rasuah mengambil keuntungan ke atas anda.

Itukah yang anda mahukan? Anda tidak bersalah jika ditipu, tetapi anda tidak bertindak bijak jika anda secara sedar membiarkan diri anda ditipu. BN dan PH adalah sama dari segi rekod penyelewengan, dan dibuktikan dengan rekod siasatan rasuah 71-21 masing-masing.

Masih ingatkah lagi anda dengan filem “Face Off” lakonan Nicholas Cage dan John Travolta? Mereka hanya bertukar wajah sahaja, tetapi perwatakan mereka masih sama. Jadi kemana sahaja mereka pergi bertukar parti, tetapi masih sama dengan dasar parti Sekular, perangai khianat.

Maka apa perubahannya, apa harapan untuk kita percaya dan berikan? Jangan anda ditipu seperti Edi, walaupun anda baik, tetapi anda membantu mereka. Pilihlah parti yang tiada rekod penyelewengan, siapa lagi jika bukan PAS?

MOHD NASIR ABDULLAH 
Bukit Payong
17 April 2018 – HARAKAHDAILY 17/4/2018

- Advertisement -