PAS tegak keadilan antara kaum

- Advertisement -

KOTA BHARU: Masyarakat bukan Islam tidak perlu takut terhadap PAS walaupun parti itu memperjuangkan Islam.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS sering mengajak masyarakat bukan Islam berjuang bersama parti itu demi untuk kesejahteraan negara.

Katanya, situasi itu dapat dibuktikan di Kelantan di mana masyarakat bukan Islam dilayan sama rata dan adil.

“Kerajaan Kelantan yang ada sekarang dibentuk hampir 28 tahun lalu juga hasil sokongan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” ujarnya pada majlis ramah mesra antara kaum di sebuah hotel, di sini malam tadi. (Foto atas: Tuan Guru Abdul Abdul Awang bersama pimpinan kerajaan negeri dan ketua masyarakat bukan Islam.)

Turut hadir anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Anuar Tan Abdullah, Dato’ Abdul Fattah Mahmood, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Dato’ Dr Ramli Mamat, Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan, Lim Guan Seng.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, pentadbiran kerajaan Kelantan diakui bersih hampir 28 tahun lalu yang diasaskan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Tidak ada sebab kerajaan ini harus ditolak kerana kecemerlangannya semakin menyerlah tanpa sebarang salahlaku kuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/4/2018

- Advertisement -