Lapor polis ancaman Kristian Bishop Melaka Johor

- Advertisement -

SEMALAM, 13 April 2018, jam 3.14 petang, saya telah membuat laporan polis terhadap Bishop of Melaka Johor Diocese, Rt. Rev. Bernard Paul, di Balai Polis Changlun, Kedah ekoran Bishop’s Circular No: BP/2018/015 yang beliau edarkan pada 11 April 2018.

- Advertisement -

Laporan polis serupa terhadap Rt. Rev. Bernard Paul juga telah dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bernama Prof Madya Dr Shafaai Musa di Balai Polis Simpang Ampat, Melaka, ekoran pengedaran Bishop’s Circular itu.

Asas laporan polis ini adalah bahawa hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul ini memenuhi kriteria menghasut yang terangkum dalam Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948 kerana ia cenderung mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau kerajaan. Membangkitkan rakyat supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara selain cara yang sah. Mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan dan menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat.

Ini terkandung di dalam hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul yang berbunyi seperti berikut:

“Dahulu kita telah membebaskan diri kita dari pemerintahan penjajah; sekarang kita sedang bertungkus-lumus untuk membebaskan diri kita dari “kayu-kayu mati” yang menindas, melemahkan semangat, yang berbohong dengan diri mereka, bahawa mereka “mendahulukan rakyat””.

“Tidak ada kerajaan dan pemerintahan yang bersih; tidak ada pilihan raya yang bersih; tidak ada institusi yang bersih; tidak ada penguatkuasa undang-undang yang bersih; tidak ada pengurusan kewangan dan sumber yang bersih; tidak ada pemimpin bersih yang boleh dipercayai.”

“Perhatikan peningkatan rasuah dan skandal; Institusi-institusi yang gagal seperti kehakiman, SPRM, sistem pendidikan; pertambahan hutang-hutang asing; ahli-ahli politik pemecah-belah; dan lain-lain.”

Hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul ini merbahaya kerana kedudukan tinggi beliau di dalam Institusi agama Kristian di mana hebahan rasmi ini disebarkan secara meluas kepada rakyat, khususnya penganut agama Kristian. 

Pada pandangan kami, walaupun tujuan tersurat hebahan rasmi ini, dan satu lagi hebahan rasmi beliau, iaitu Bishop’s Circular No: BP/2018/014 yang mengarahkan semua “Parishes and religious houses” untuk berdoa supaya tuhan campur tangan dan supaya berlaku perubahan dalam PRU 14, adalah bagi menggesa penganut agama Kristian supaya menukar kerajaan dalam PRU 14.

Tetapi retorik-retorik terlalu keras yang beliau gunakan dengan mengibaratkan perjuangan membebaskan diri dari kerajaan sekarang sama seperti perjuangan membebaskan diri dari pemerintahan penjajah. Serta dengan menyifatkan semua institusi yang ada dalam negara, termasuk pilihan raya, sebagai tidak bersih dan gagal boleh membakar semangat penganut agama Kristian untuk membenci, tidak puas hati dan tidak setia terhadap kerajaan dan semua Institusi yang ada dalam negara seterusnya boleh mendorong mereka supaya turut cuba mendapatkan perubahan dengan apa-apa cara selain cara yang sah.

Begitu juga dengan gesaan yang terkandung di dalam hebahan rasmi ini supaya penganut agama Kristian bersama-sama membina Kerajaan Tuhan yang selari dengan gesaan sama yang terkandung di dalam tulisan-tulisan pemimpin DAP seperti Hannah Yeoh dan pemimpin PKR seperti Baru Bian serta oleh penceramah evangelis dalam dan luar negara lain yang dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta boleh mendatangkan keresahan di kalangan penganut agama Islam.

Perkara ini sangat perlu dipandang serius sebelum merebak menjadi lebih besar lagi kerana nada sama juga turut terdapat di dalam hebahan gereja lain di Malaysia ini.

Sebagai contohnya, The Diocese of West Malaysia, Anglican Church, juga telah menggesa penganut agama Kristian supaya berdoa bahawa tahun 2018, yang merupakan tahun berlangsungnya PRU, akan menjadi tahun perubahan dan tahun di mana penganut agama Kristian akan meletakkan tuhan mereka di tempat yang betul. Begitu juga dengan doa supaya The Diocese of West Malaysia, Diocese of Singapore, The Diocese of Sarawak dan Diocese of Sabah bekerja bersama-sama untuk mengembangkan Kerajaan Tuhan.

Sudah tentulah bahasa yang digunakan di dalam hebahan ini adalah bahasa yang berlapik. Tetapi apakah kita mahu supaya hebahan ini sama dengan hebahan di dalam satu laman web luar negara, iaitu Prayercast, yang menyeru penganut agama Kristian supaya berdoa agar “Orang-orang Melayu akan diKristiankan di negara mereka dan di luar negara” (“For the Malay people to be evangelized both at home and abroad”), baru tindakan hendak diambil? – HARAKAHDAILY 14/4/2018

- Advertisement -