Amerika mengamuk lagi

- Advertisement -

HARI ini (14 April 2018) Amerika mengisytiharkan serangan udara ke atas Syria, dengan alasan ingin mensasarkan pangkalan-pangkalan senjata kimia Basyar al-Asad. Sebagai rekod pada 2003, AS menggunakan alasan kononnya kerana senjata pemusnah yang dibangunkan oleh Saddam untuk menyerang Iraq.

- Advertisement -

Turut menyertai serangan ini adalah Britain dan Perancis. Trump mengingatkan kepada Saudi, Mesir, UAE dan Qatar agar memberikan kerjasama yang baik dengan kempen ini. Serta jangan sama sekali bersama dengan kepentingan Iran dan Russia.

4 hari lepas, Duta Russia di Lubnan, Alexander Zasypkine mengingatkan bahawa mana-mana peluru misil dari pihak pakatan Barat yang disasarkan ke atas Syria pasti akan ditembak. Bukan sekadar itu, beliau mengingatkan bahawa Russia akan melancarkan serangan ke atas mana-mana pangkalan Amerika yang memulakan serangan ke atas Syria. Ternyata ingatan tersebut sebagai jaminan dari Russia untuk melindungi Syria dari serangan pihak Barat dan kesanggupan untuk berperang besar demi Syria.

Dalam konteks perang proksi di Syria setakat ini yang telah berlangsung hampir 8 tahun, memperlihatkan kemenangan bagi pakatan Russia. 5 bulan lepas, Basyar al-Asad mengunjungi Putin di Russia sebagai simbolik terima kasih kerana membantu pihak Syria menangani perang proksi yang didalangi oleh Amerika. Media pro-Russia turut menghebahkan bahawa Russia telah menang besar di Syria.

Sejurus selepas itu, pangkalan-pangkalan proksi Amerika dibedil oleh Basyar al-Asad dengan bantuan Russia. Media pro-Barat pula mempropagandakan ia merupakan serangan ke atas rakyat Syria yang tidak berdosa.

Sepanjang perang proksi di Syria, “abang-abang besar” hanya menggerakkan proksi yang mereka biayai untuk saling berperang. Kali ini, Amerika secara terang-terangan mencabar Russia. Apa pun, tanah air dan umat Islam juga yang hancur lebur menjadi mangsa.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD 
14 April 2018 – HARAKAHDAILY 14/4/2018

- Advertisement -