SPR pilih Rabu susahkan pengundi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh membuang undi pada 9 Mei 2018 hari Rabu turut mendapat kecaman dari Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

- Advertisement -

Dewan Pemuda Ikatan menyifatkan tindakan SPR menyusahkan rakyat yang ingin keluar menunaikan kewajipan untuk mengundi.

Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata pihaknya kesal kerana terdapat pihak menyokong keputusan ini dengan mengatakan bahawa hari mengundi pada minggu bekerja pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya.

Hakikatnya, ujar beliau perkara utama harus dilihat adalah implikasi pada hari mengundi yang diputuskan SPR pada hari bekerja nanti.

“Sejarah membuktikan bahawa peratusan rakyat Malaysia keluar mengundi melebihi 70 peratus untuk tiga pilihan raya lepas yang dijalankan pada hari Sabtu atau Ahad berdasarkan sumber Parlimen Malaysia.

Statistik menunjukkan bahawa PRU13 – Ahad (84.40 peratus), PRU12 Sabtu (75.99 peratus), dan PRU11 – Ahad (73.90 peratus).

“Agak menarik apabila sejarah menunjukkan PRU10 pada tahun 1999, dijalankan pada hari bekerja (Isnin) dengan peratusan keluar mengundi paling rendah sebanyak 69.3 peratus.

“Adalah agak ironik apabila Tun Mahathir mengadakan sidang media untuk mengecam SPR sejurus pengumuman tarikh pilihanraya dibuat. Walhal, Tun Mahathir menggunakan taktik yang sama setelah memecat Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

“Ramai anak-anak perantau akan mengalami kesulitan untuk pulang ke kampung masing-masing demi menjalankan kewajipan terhadap negara.

“Golongan muda yang baru bekerja akan rasa tertekan untuk terpaksa cuti di saat tempat kerja memerlukan kehadiran mereka untuk kelangsungan operasi harian,” katanya.

Shahir yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera berharap pekerja di seluruh negara diberikan pelepasan awal bersyarat pada hari Selasa, 8 Mei nanti oleh majikan masing-masing bagi memudahkan anak-anak perantau menjalankan proses membuang undi pada keesokan harinya, Rabu 9 Mei ini. -HARAKAHDAILY 11/4/2018

- Advertisement -