Pertandingan tiga penjuru Manifesto PAS, BN dan PH

- Advertisement -

KERBAU dipegang pada talinya,manusia dipegang pada janjinya” – pepatah Melayu.

- Advertisement -

Sejurus pembubaran Parlimen berkuatkuasa pada 7 April 2018, BN telah melancarkan manifesto mereka pada hari yang sama, sarat dengan pelbagai tawaran dan janji manis yang masih belum terlaksana sejak PRU 2013.

Sebagai kerajaan sementara (caretaker government), BN mempunyai banyak kelebihan dan sumber bagi mengadun sebuah manifesto yang menarik untuk dipersembahkan kepada rakyat. Tujuan utama pastinya untuk menarik sokongan rakyat di bandar mahupun luar bandar, demi mengekalkan BN di tampuk kuasa yang dilihat semakin goyah, selepas berjaya mengubah sempadan pilihan raya yang lebih memihak kepada pihak BN.

Namun, jangan dipandang rendah kebijaksanaan rakyat, khususnya anak muda untuk menilai mana yang baik dan buruk. Penelitian kami terhadap dokumen manifesto BN setebal 220 muka surat yang mengandungi 364 inisiatif berasaskan 14 teras utama mendapati, ada beberapa perkara penting yang tidak dinyatakan secara terang atau disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

Cukai yang adil

Pertama, dalam aspek percukaian yang menjadi dasar penting bagi sesebuah kerajaan, khususnya Malaysia yang berhadapan dengan kesempitan defisit fiskal dan hutang kerajaan. BN hanya menyebut komitmen untuk menyemak semula kadar cukai pendapatan individu dan korporat, serta pelbagai insentif cukai untuk perumahan, pekerjaan, OKU, dan pendidikan.

Namun perkataan ‘GST’ dan ‘cukai barangan dan perkhidmatan’ langsung tidak dijumpai di dalam dokumen setebal 220 muka surat tersebut.

Ini pastinya menimbulkan persoalan tentang nasib rakyat yang terbeban dengan GST, di mana pihak BN tidak menyatakan secara bertulis janji untuk meneruskan pelaksanaan GST atau menghapuskannya, ataupun berhasrat untuk menaikkan kadar 6 peratus yang berkuatkuasa hari ini kepada kadar yang lebih tinggi seperti diamalkan oleh negara-negara lain.

Sebagai contoh, Singapura mula memperkenalkan GST pada kadar 3% (1994), dinaikkan kepada 4% (2003) dan 5% (2004), sehingga kini pada kadar 7% (2007). Begitu juga Australia yang melaksanakan GST pada kadar 10% sejak 2000, dan kini bercadang untuk menaikkan kepada 15% dalam masa terdekat.

Manifesto BN yang membisu dalam hal ini wajar dipersoalkan. Ini adalah kesinambungan sikap yang sama oleh BN di dalam Manifesto PRU13, yang juga tidak menyatakan secara bertulis janji untuk melaksanakan ‘GST’ selepas PRU 2013, tetapi sekadar menyebut “komitmen untuk mengubah sistem cukai sekarang ke arah sistem cukai yang lebih meluas dan menurunkan kadar cukai pendapatan secara berperingkat”. Natijahnya, pada 1 April 2015, rakyat mula dibebankan dengan cukai 6% ke atas setiap barang, setiap hari dan setiap orang.

Integriti pemimpin

Kedua, manifesto BN juga berdiam diri dalam aspek rasuah dan tadbir urus negara. Perkataan ‘rasuah’ hanya dijumpai sekali di dalam dokumen setebal 220 muka surat itu, dengan menyebut “Menuju ke arah Kerajaan Digital melalui penambahan aplikasi atas talian demi meningkatkan tahap kecekapan, membasmi rasuah dan meminimumkan ketirisan dalam perkhidmatan awam.”

Ternyata BN tidak mengendahkan kedudukan indeks rasuah Malaysia yang kian merosot, dan berkongsi kedudukan di tangga 62 dengan negara Cuba, berbanding 180 buah negara. Di peringkat ASEAN, Malaysia berada di kedudukan ketiga selepas Singapura yang menduduki tangga ke-6 dan Brunei di tangga ke-32.

Jenayah rasuah ini amat merbahaya kepada negara dan rakyat. Selain menyebabkan ketirisan dan pembaziran wang negara, ia juga terus menghakis keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia, di samping mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

Kesimpulannya, perbandingan di antara manifesto BN, PH dan PAS menunjukkan segala program kebajikan rakyat yang ditawarkan oleh BN turut ditawarkan oleh PH dan PAS, cuma kuantiti dan program yang berbeza. Ini kerana kesemua teras manifesto tersebut merupakan tanggungjawab kerajaan yang wajib dilaksanakan.

Perbezaan ketara di antara manifesto BN dengan pihak kerajaan-menanti (government inwaiting) adalah, BN tidak menyebut tentang komitmen untuk membanteras rasuah, dan tidak dinyatakan sekalipun perkataan GST yang membebankan rakyat dan peniaga kecil. Ini meletakkan manifesto BN di belakang pihak PH dan PAS.

Justeru, skor penentu dalam perbandingan manifesto di antara BN, PH dan PAS adalah dalam aspek pelaksanaan, yang bergantung kepada kompetensi dan integriti pemimpin negara dan negeri. Ianya boleh diukur melalui tahap pendidikan, moral pemimpin, pengalaman mentadbir dan rekod rasuah.

Maka dalam aspek ini, ternyata PAS yang memegang rekod pentadbiran bebas rasuah berbanding PKR dan DAP sejak 1990 meletakkan kedudukan PAS di hadapan PH dan BN dalam aspek pelaksanaan segala tawaran yang dikemukakan, sekali gus menjadikan PAS sebagai pilihan untuk melaksanakan setiap janji, demi kebajikan rakyat dan kemakmuran negara.

Benarlah pesan orang tua-tua, “Kalau memilih tempat mandi, pertama teluk kedua pantai; Kalau memilih pemimpin negeri, pertama elok kedua pandai”.

#MalaysiaSejahtera
#UP

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
10 April 2018 – HARAKAHDAILY 10/4/2018

- Advertisement -