PAS tidak boleh bersama BN atau PH

- Advertisement -

BATU PAHAT: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan parti tidak boleh bersama dengan BN mahupun Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ini.

- Advertisement -

“Kalau masuk Barisan Nasional seumpama memikul biawak hidup,”kata beliau ketika program Gempur Johor Bersama Presiden PAS di Kompleks PAS Sungai Tongkang, Rengit, malam tadi.

Beliau menegaskan PAS kesal dengan apa yang berlaku ke atas 1MDB, namun dalam masa yang sama perlu kepada siasatan yang menyeluruh sekiranya berlaku penyelewengan.

“Tapi kami Melayu yang tak lupa. Bukan 1MDB saja, Perwaja, BMF, KWSP, Tabung Haji, Petronas, kapal terbang Skyhawk, banyak duit yang lesap dan macam-macam lagi. Mengapa kita lupakannya?” kata beliau merujuk kepada isu-isu berkaitan penyelewengan yang dilakukan oleh parti pemerintah.

“Di Pulau Pinang baru memerintah berapa penggal, pasal rumah banglo, disiasat,” ujar beliau.

Menurutnya, pemimpin PAS tiada yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ini menjadi sebab kenapa PAS tidak boleh bersama dengan BN dan PH dalam PRU14.

Beliau menambah PAS tidak boleh menyertai Pakatan Harapan disebabkan DAP yang mencampuri perkara berkaitan Islam seperti RUU355 yang tidak dipersetujui oleh DAP. – HARAKAHDAILY 9/4/2018

- Advertisement -