Kerajaan Teknokrat: Solusi kepada permasalahan negara

- Advertisement -

ALLAH telah berfirman di dalam Surah Yusuf ayat 55 yang bermaksud: “Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir; sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.

- Advertisement -

Ayat ini menyebut tentang kriteria mereka yang sesuai untuk dijadikan pemimpin. Yakni, mereka yang al-Hafiz dan al-Alim.

Dalam ayat yang lain juga merakamkan perbualan antara Nabi Syuaib dan anaknya tentang kualiti pekerja yang terbaik dalam surah Al-Qasas ayat 26 (maksudnya);

“Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”. – Al-Qawi dan Al-Amin

Negara Malaysia sekarang berhadapan dengan pelbagai masalah. Daripada masalah ekonomi negara sehinggalah kepada masalah keharmonian hidup rakyat. Lebih-lebih lagi, dengan cabaran daripada geopolitik serantau dan ancaman revolusi perindustrian 4.0.

Di peringkat global, kita telah menyaksikan ‘perang hibrid’ (Hybrid War) antara blok Barat pimpinan Amerika dan UK ke atas Rusia dan China. Seluruh dunia sedang dilanda kebimbangan akibat ‘perang perdagangan’ yang mulai memuncak antara Amerika dan China. Bagaimana isu geoplitik ini bakal mencorakkan masa depan kita dan anak-anak kita kelak?

Kerajaan yang memerintah sekarang tidak dapat menguruskan masalah ini dengan baik disebabkan oleh masalah dalaman parti pemerintah itu sendiri. Pelbagai isu penyalahgunaan kuasa telah diserahkan kepada Jabatan Audit Negara.

Hal ini menyebabkan rakyat bosan dengan politik. Kajian yang telah dijalankan oleh Merdeka Centre pada 3 sehingga 8 Ogos 2017 mengenai ekonomi, kepimpinan dan isu semasa mendapati, 57 peratus golongan anak muda berpendapat Malaysia menuju ke arah yang membimbangkan. Manakala isu yang paling menjadi kebimbangan mereka adalah isu kenaikkan kos sara hidup.

Tambahan pula, dengan isu pengangguran di kalangan anak muda disebabkan oleh peluang pekerjaan dalam negara di pelopor oleh warga asing. Selain itu, ahli politik yang berkepentingan mengharapkan laba kutipan levi pekerja asing melalui kroni.

Oleh itu, apa solusi yang ingin dibawa oleh Gagasan Sejahtera dalam menangani masalah ini? Gagasan Sejahtera telah membawa satu pendekatan Kerajaan Teknokrat sekiranya diberi peluang untuk mentakbir Malaysia selepas PRU ke-14 nanti.

Kerajaan Teknokrat merupakan sebuah strategi pelaksanaan bagi Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051). Strategi pelaksanaan ini perlu bagi memastikan fasa pertama dalam WINS2051, iaitu Transformasi Negara Sejahtera dapat mencapai target yang telah ditetapkan.

Manakala Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) merupakan sebuah budaya Politik baru yang dibawa oleh PAS untuk seluruh rakyat Malaysia.

Gabungan strategi halatuju negara menerusi WINS2051 dan budaya politik baru BPMS ini, memerlukan konsep pelaksanaan yang efektif. Konsep pelaksanaan efektif inilah yang dipanggil dengan nama Kerajaan Teknokrat. Kerajaan Teknokrat akan membawa sebuah pemerintahan berpandukan kepada kerangka pencapaian dan visi negara – Wawasan Induk Negara Sejahtera – WINS2051 bersama budaya politik baru Budaya Politik Matang dan Sejahtera – BPMS.

Secara kasarnya, Kerajaan Teknokrat (KT) adalah sebuah pemerintahan yang diterajui oleh kumpulan pakar yang mempunyai ilmu, keupayaan dan kemampuan intelektual, dan keupayaan kemahiran yang tinggi dalam bidang masing-masing sama ada dalam bidang pentadbiran, ekonomi, keselamatan, pendidikan, kesihatan, sosial dan lain-lain.

Kerajaan Teknokrat ini akan menfokuskan kepada menyelesaikan masalah yang melanda negara. Manakala ahli politik pula memfokuskan kepada usaha dalam memperbaiki dasar dan perlembagaan negara. Ini akan memberikan waktu bertenang kepada semua pihak dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Ketenteraman dalam negara memberi peluang untuk kepimpinan negara untuk fokuskan dalam mencari penyelesaian kepada masalah-masalah Negara.

WINS2051 telah mengenalpasti permasalahan negara dan menggariskan beberapa program-program yang dapat dijalankan dalam menyelesaikan permasalahan ini. Pelaksanaan solusi yang dicadangkan dalam WINS2051 dapat dilaksanakan secara objektif oleh Kerajaan Teknokrat tanpa gangguan politiking. Perinciannya akan kita bincangkan bersama panel-panel kita pada malam ini.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Ucapan dalam program “Town Hall Mega: Kerajaan Teknokrat Penyelesaian Terbaik Untuk Rakyat & Negara” pada 7 April lalu di Shah Alam.

- Advertisement -