Hujah Mahfuz kebudak-budakan

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS menyifatkan Naib Presiden PAN, Dato’ Mahfuz Omar yang mendakwa PAS menerima RM1.5 juta daripada Umno sebagai hujah kebudak-budakan di mana dibuat tanpa merujuk kepada fakta sahih.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, hujah itu tidak perlu dilayan kerana mustahil PAS menerima duit daripada Umno sedang parti Islam itu berpendirian menentang Umno.

Jelas beliau, PAS melawan Umno di kebanyakan kerusi yang ditandingi oleh parti tersebut berbanding DAP pada Pilihan Raya Umum nanti.

“Rakyat fikir sendiri, kita nak lawan Umno, Umno bagi kita duit suruh lawan dia? Saya rasa itu satu hujah kebudak-budakan yang kita rasa bodoh kalau kita layan.

“PAS ambil duit Umno untuk lawan Umno? Cerdik ke hujahnya?,” kata beliau pada sidang media selepas forum Town Hall Mega, bertajuk Kerajaan Teknokrat: Penyelesaian Terbaik Untuk Rakyat dan Negara, di sini malam tadi.

Memaklumkan perkembangan berkaitan, Tuan Guru Abdul Hadi turut mengambil kesempatan menerangkan kes saman beliau terhadap laporan fitnah oleh Sarawak Report.

Media itu dalam siaran portalnya telah mendakwa beliau menerima sejumlah wang yakni sebanyak RM90 juta daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

“Insha Allah kita akan menang dan sudah ada orang tengah pujuk kita untuk tarik balik (saman),” katanya pada program anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia itu di Hotel De Palma, di sini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan mencabar Ahli Parlimen Pokok Sena supaya membuat laporan terhadap Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah sekiranya dakwaan beliau itu betul-betul ada unsur rasuah.

“Kalau dia rasa itu ada unsur rasuah, please lodge the report. Bukan kita nak menafikan, dia kena buktikan,” katanya.

Baru-baru ini Mahfuz dalam ceramahnya di Guar Lobar, Padang Serai, Kedah mendakwa tiga pemimpin PAS Terengganu iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS, Bendahari dan Setiausaha PAS telah menerima sejumlah RM1.5 juta daripada Umno yang dimasukkan ke akaun khas yang dinamakan Akaun Amanah.

Hadir sama pada malam tersebut, bekas Menteri Selangor, Dato’ Seri Khalid Ibrahim, pimpinan Ikatan dan Berjasa. – HARAKAHDAILY 8/4/2018

- Advertisement -