Parti lawan PAS tak mampu tangani rasuah

- Advertisement -
DUNGUN: Baik Pakatan Harapan (PH) mahupun BN, kedua-duanya jelas gagal dalam menangani isu rasuah di dalam pemerintahan mereka kerana terang menurut rekod mempunyai sejarah rasuah.
 
Mereka diibaratkan sebagai penjual ubat sakit kulit yang berkempen mengenai kemujaraban ubat, tetapi di wajah mereka penuh dengan kurap, memperlihatkan penipuan dalam memberikan maklumat betul mengenai rasuah.
 
Begitulah anologi ringkas yang diberikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim di dalam ceramah beliau di Kampung Gong Pasir, di Dun Rantau Abang, di sini semalam.
 
Tambah beliau lagi, pengesahan ini tidak datang dari cakap-cakap kedai kopi, tetapi ia menjadi handsard di parlimen setelah jawapan itu diberikan oleh Timbalan Menteri ketika sesi soal jawab baru-baru ini.
 
Tegas beliau lagi, PAS adalah satu-satunya parti pembangkang yang tidak pernah gagal menghantar wakil mereka ke Parlimen, menunjukkan kehebatan PAS sebagai sebuah organisasi.
 
Maklum Dr Azman, PAS pada ketika ini mempunyai 196 Kawasan dan lebih 7,000 Cawangan di seluruh negara.
 
“Ahli Parlimen PAS pada tahun 1955 telah mendesak untuk Inggeris memasukkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia, inilah pentingnya suara politik yang tidak disukai oleh sesetengah pihak.
 
“PAS tidak masuk PRU hanya untuk mengalahkan Umno sahaja kerana jika itu tujuannya, PAS Kelantan sepatutnya sudah berhenti berjuang. 
 
“Tetapi PAS ingin menegakkan Islam di dunia ini, maka perjuangan PAS tidak akan selesai sehingga kiamat,” tegas beliau.
 
Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah serta Adun Rantau Abang, Alias Harun.
 
Dalam pidato Ustaz Mohd Nor pula, beliau menekankan perihal fitnah yang melanda negara kerana kempen menggila bagi memenangi kerusi, tanpa mengambil ukuran dosa pahala oleh sesetengah pihak.
 
Diwaktu ini jelas beliau, hati mesti teguh dan kuat, serta mempunyai keyakinan yang tinggi kepada pucuk pimpinan dalam membuat sesuatu keputusan tepat dan cepat di masa genting sebegini.
 
“Angin PRU semakin kuat, angin yang akan membawa segala macam kekotoran bersamanya, ketika inilah ujian yang akan menggegarkan hati orang-orang yang mahukan kebaikan.
 
“Mesti hati kita tetap dan teguh, jangan lupa bermunajat kepada Allah tidak hanya dengan menjalankan kerja biasa sahaja, tetapi mesti diikat dengan harapan dan doa kepada Allah supaya rakyat akan mengundi kita,” pesan beliau kepada hadirin.
 
Wakil rakyat Rantau Abang, Alias Harun pula menyentuh isu berkenaan Velodrom Rakyat yang sudah lapan tahun dijanjikan dan sudah dua kali diadakan acara pecah tanah, namun sehingga kini, tiada apa-apa perkembangan. -HARAKAHDAILY 7/4/2018
- Advertisement -