Undi PAS supaya RUU355 dapat dibahas lulus

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Umat Islam negara ini diseru memberikan undian pada PRU nanti kepada PAS untuk memastikan RUU355 berpeluang dibahaskan pada sidang dewan rakyat akan datang ini.
 
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof berkata, jika PAS dibenarkan untuk memerintah Malaysia, usul RUU355 akan dibahaskan sehingga berjaya menjadi undang-undang yang sah di negara ini.
 
“Kami (PAS) telah melakukan yang terbaik di mana Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai pembawa usul ini telah membacakannya pada 6 April tahun lalu.
 
“Usul ini diteruskan sehingga ke hari ini (semalam) dengan persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan yang meminta penjelasan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa mungkinkah usul ini akan dibawa pada penggal sidang parlimen selepas PRU ke-14.
 
“Ujar Speaker Dewan ia terserah kepada kerajaan baru yang akan memerintah kerajaan selepas daripada PRU ke 14 ini,” katanya kepada Harakah selepas tamat sidang media Ahli Parlimen PAS di Parlimen semalam.
 
Katanya, usul RUU 355 tidak lagi di bawah bidang kuasa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan sewajarnya usul tersebut diberi peluang kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk berbahas. -HARAKAHDAILY 6/4/2018
- Advertisement -