RUU 355: PAS sudah usaha untuk tingkat syariah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Usahkan hendak dibuat pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355, bacaan pun tidak dilakukan pada persidangan parlimen yang berakhir semalam.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, PAS sudah berusaha untuk memastikan perundangan syariah dapat dipertingkatkan.

“Pindaan RUU itu hak manusia untuk buat ketika masih ada kuasa. Bagaimana nanti kalau kuasa tiada kita tidak mampu berbuat apa-apa lagi,” katanya pada kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu pagi ini.

Persidangan Parlimen penggal ke-13 yang berakhir semalam hanya menyenaraikan nombor 2 usul pindaan RUU 355. Bagaimanapun ia tidak sempat dibaca apabila Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguh persidangan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, RUU itu hanya boleh dinaik taraf selepas mendapat kelulusan di parlimen.

“RUU itu tidak boleh dinaik taraf sekadar dibincang di kedai kopi, jadi mengikut kaedah demokrasi kena bawa ke parlimen bagi mendapatkan kerjasama kerajaan.

“Pada persidangan yang berakhir semalam usul mengenai pindaan itu berada di nombor 2. Namun malangnya parlimen ditangguh sebelum sempat dibincang usul tersebut,” katanya pada ceramah di Kampung Pendek, Dun Salor malam tadi.

Ribuan penduduk tempatan memenuhi padang bola tempat berlangsung ceramah tidak jauh dari Wisma Tok Guru Dun Salor.

Tahun lepas usul RUU 355 dibentang anggota parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan disokong anggota parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyudin Hassan. – HARAKAHDAILY 6/4/2018

- Advertisement -