PAS sebuah parti dakwah yang berprinsip

- Advertisement -

APA yang sukar difahami oleh parti-parti lain mengenai PAS ialah mereka gagal memahami gerak langkah perjuangan PAS.

- Advertisement -

Oleh kerana mereka semua (BN dan PH) adalah hanya sebuah parti politik maka mereka melihat semua perkara mengunakan kaca mata politik. Sedangkan PAS bergerak dengan tiga matlamat secara serentak, iaitu politik, dakwah dan tarbiyyah. Disebabkan BN dan PH tiada gerakan dakwah dan tarbiyyah maka gagallah mereka memahami PAS.

Bila PAS masuk bertanding beberapa kerusi dalam pilihan raya Negeri Sarawak, maka berkatalah pimpinan PH, PAS hanya mengacau. Kalaupun menang semua kerusi yang ditandingi, PAS masih gagal menjadi kerajaan negeri. Dalam tempurung kepala mereka, pilihan raya adalah urusan politik, manakala berpolitik ialah untuk kuasa. Sama ada negeri atau Pusat.

Bila PAS jawab, kami masuk bertanding di Sarawak adalah untuk dakwah, mereka ketawakan PAS. Kenapa? Kerana dalam kamus politik mereka (parti sekular) tiada istilah dan matlamat dakwah.

Begitu juga dalam isu RUU 355. Bagi PAS kalaupun RUU 355 tidak mendapat undian majoriti di Parlimen, namun sekurang-kurangnya PAS sudah berusaha dan melaksanakan amanah yang diperintahkan oleh Allah.

Soal amanah Allah ini juga mereka gagal memahaminya. Kerana dalam aktiviti politik parti sekular tiada agama. Sekurang-kurangnya dengan mengangkat isu RUU 355 , PAS sudah punya ruang untuk berdakwah dan memperjelaskan kepada khalayak umum apa dia hukum Jinayat Islam.

Bagi PAS, bila kerajaan sudah beri laluan, maka PAS mesti menggunakan laluan itu. Soal kerajaan akan menghalangnya dengan berbagai cara, itu adalah soal yang kedua. PAS tidak ditanya nanti mengapa Rang Undang-undang itu belum dapat dibentang. Tapi PAS akan ditanya mengapa tidak mengambil ruang yang ada untuk menyampaikan Islam.

Ruang yang sempit tidak menjadi alasan untuk dakwah tidak disampaikan. Demikian dakwah Nabi Yusuf yang tetap disampaikan walau dalam penjara. Oleh kerana dalam parti PAN, PKR, DAP, Bersatu dan Umno tiada istilah dakwah, maka gagallah mereka memahami pendekatan PAS.

Walaupun dakwah adalah sebahagian daripada uslub dan matlamat perjuangan PAS, namun PAS tetap tegas dengan prinsipnya dalam keghairahan PAS berdakwah dan mengharapkan DAP boleh menerima dasar-dasar Islam.

Namun bila pimpinan DAP agresif mempersenda hukum Islam, PAS tegas bertindak memutuskan hubungan dengan DAP. Tindakan ini pun gagal difahami oleh juak-juak BN dan PH. Bagi mereka tindakan itu menyebabkan PAS kehilangan undi non-Muslim.

Mereka tidak faham bahawa bagi PAS lebih baik hilang undi daripada hilang Islam. “Bila kita jaga Islam Allah akan datangkan pengundi” adalah kata-kata yang sangat jauh untuk dijangkau oleh pemikiran politik manusia sekular seperti BN dan PH. Kerana bagi mereka pengundi dan kuasa lebih penting dari Islam. Oleh itu selalu saya tegaskan. Mereka perlu memahami Islam terlebih dahulu, nescaya mereka akan memahami PAS.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/4/2018

- Advertisement -