Parlimen bubar: PAS telah siap sedia

- Advertisement -
MARANG: Susulan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkuatkuasa pada esok bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 dapat diadakan, PAS telah bersiap sedia.
 
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS telah bersiap sedia kerana telah menjangkakan pembubarannya pada bila-bila masa.
 
Ini kerana menurutnya, menjadi kelaziman pilihan raya umum di Malaysia tidak diberitahu awal oleh parti pemerintah.
 
Maklum beliau, persiapan parti itu termasuk manifesto di peringkat PAS Pusat dan negeri serta pemilihan calon bertanding yang diluluskan Majlis Syura Ulama (MSU).
 
“Kita (PAS) telah bersedia bila-bila masa sebenarnya. Oleh kerana, pilihan raya di Malaysia ini dia tidak beritahu awal. Kita sudah jangka akan diumumkan bila-bila masa. 
 
“Sebab itu, kita (PAS) buat persediaan awal, daripada manifesto yang kita telah lancarkan sama ada peringkat pusat, peringkat negeri termasuklah calon-calon keseluruhannya sudah bersedia. 
 
“Dan (calon) sudah diluluskan oleh Majlis Syura Ulama (MSU), kecuali jika ada permohonan Kawasan-kawasan baharu yang akan kita bertanding,” ujar beliau dalam satu sidang media di kediamannya Kampung Rusila, selepas solat Jumaat tadi. 
 
Sehubungan itu katany,  PAS akan bertanding tidak kurang dari 130 kerusi daripada 222 buah kerusi parlimen seluruh negara.
 
Namun, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, kemungkinan bertanding lebih dari 130 kerusi boleh berlaku setelah mendapat respon beberapa parti politik serta NGO dalam Gagasan Sejahtera.
 
“Kita (PAS) akan bertanding tidak kurang dari 130 kerusi (parlimen) dan dilihat kepada respon yang ada (sekarang) di kalangan kawan-kawan parti politik dan NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang minta kita (PAS) bertanding (lebih) lagi dan mungkin boleh jadi lebih dari 130 kerusi parlimen yang akan kita (PAS) bertanding,” tegasnya. 
 
Pengumuman Khas Perdana Menteri itu dibuat di bangunan Perdana Putra, Presint 1, secara langsung di RTM1 setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad ke-V.
 
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kabinetnya. -HARAKAHDAILY 6/4/2018
- Advertisement -