Cina tanya, Tok Guru jawab

- Advertisement -

KEMAMAN: PAS Terengganu mengharapkan segala kekusutan minda fikir masyarakat pengundi Tionghua yang selama ini terpengaruh dengan politik persepsi terhadap parti itu terungkai.

- Advertisement -

Ini kerana, Tinjauan Harakah pada majlis Dialog Warga Tionghua Peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, rata-rata masyarakat Cina itu berpuas hati dapat berdepan secara langsung dengan Presiden PAS.

Berikut adalah soalan dari peserta dialog dan jawapan yang diberikan oleh Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang, yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni.

Betulkah PAS akan masuk BN (Barisan Nasional)?
Jawabnya bohong, tak betul. Dulu kita (PAS) pernah masuk BN tahun 1974. Tetapi, dihentamnya kita (PAS) di Kelantan. Dia sekat apa yang kita hendak buat. Dia suruh kita ikut dia, benda yang tidak betul supaya ikut. Kita (PAS) keluar BN pada masa itu. Kita tidak akan ulang lagi untuk masuk BN. Apa yang kita (PAS) hendak buat ialah kita nak hancurkan BN. Kita buat satu pakatan lain dari pakatan BN. Kita buat gabungan Gagasan Sejahtera dan bukan BN lagi. Sekarang dua, tiga parti sudah masuk (Gagasan Sejahtera) bersama dengan PAS dan NGO-NGO dan termasuk persatuan bukan Islam bersama dengan kita. Kita (PAS) perintah dengan Gagasan Sejahtera. PAS akan bertanding lebih 130 kerusi parlimen di seluruh Malaysia. PAS akan tanding 130 kerusi dan kawan-kawan kita dari Gagasan Sejahtera akan bertanding (beberapa) kerusi lagi. Jadi, macam mana kita nak masuk BN, kita (PAS) lawan BN pada pilihan raya ini.

Ada orang kata, selepas PRU14 ini PAS akan bergabung dengan BN?
Masa (pilihan raya) itu, dia (BN) mungkin sudah tidak menang lagi kalau semua kita (rakyat) sokong (PAS). Maka, tidak timbul lagi kita sokong BN. Kita buat gagasan baharu (Gagasan Sejahtera) untuk perintah Malaysia.

Kenapa Tok Guru berpeluk dengan Dato (Seri) Najib?
Bukan saya peluk dia tapi dia (Najib) yang peluk saya. Dia peluk saya dahulu dan takkan kita nak tolak dia peluk. Itu bukan cara kita dan kita mahu tunjuk yang kita (PAS) bukan parti jahat. Kita mahu orang Umno undi kita (PAS). Orang Umno jangan undi Umno lagi, undi kita (PAS). Jika kita nak suruh orang Umno undi kita, kita mesti buat baikjangan berkelahi. (Kita) minta orang Umno supaya undi kita dalam pilihan raya ini.

Betulkah PAS ambil wang RM90 juta daripada Umno?
Ini (tuduhan) tak betul. Ada surat khabar (Sarawak Report) di England, yang buat berita kita (PAS) ambil RM90 juta daripada Umno. Kita saman surat khabar itu. Saman di mahkamah England. Sekarang kita sudah menang beberapa pusingan saman itu. Ini satu kerja tipu, berita yang bohong dan kita (PAS) samanmasih bicara lagi di mahamah, England. Bukan mahkamah di sini (Malaysia) tapi di England. RM90 juta ini sikit, kita (PAS) mahu RM900 juta, tak cukup hendak lawan Umno dengan RM90 juta.

PAS ada ahli seluruh Malaysia. Ahli PAS satu juta sekarang. PAS ada cawangan dan kawasan sebanyak 196 kawasan Parlimen seluruh Malaysia. Satu juta ahli PAS itu ada yang bagi (beri) RM1, RM5.00, ada yang bagi RM5,000 dan RM10,000 pun ada (sumbangan). Kemudian, kita (PAS) hendak lawan Umno tetapi macam mana Umno bagi duit, sebab kita lawan dia (Umno). Tengok nama calon (pilihan raya) nanti, kita lawan Umno dan lawan Barisan Nasional. Kita (PAS) hendak pegang kuasa sendiri.

Bila PAS memerintah, adakah orang Cina juga (kena) potong tangan?
Ini hudud. Hukum Hudud ini untuk orang Islam. Hukum Islam tidak boleh dikenakan kepada orang bukan Islam. Ini bukan saya kata, Quran kata. Ada ayat Quran kata maksudnya, Jika orang bukan Islam datang kepada kamu beri pilih kepada mereka. Hudud adalah Undang-undang Syariat bagi orang Islam. Perlembagaan Malaysia mengatakan bahawa Mahkamah Syariah tidak boleh menghukum orang bukan Islam. Mereka ada undang-undang (sivil) dia sendiri. Apa yang berlaku, kita kena sedar hari ini berlaku terlalu banyak jenayah merompak, mencuri. Undang-undang Islam bertujuan menakutkan perompak, pencuri dan hendak jatuh hukum payah. Menyebabkan orang rasa gerun dan tidak berani lagi hendak mencuri. Hukuman sebat dalam Islam pula tidak boleh mencederakan pesalah. Hukuman sebat dari undang-undang orang putih (Inggeris) hukuman sebat, cedera, pecah kulit hingga nampak isu dan tulang.

Di Acheh, Indonesia dilaksanakan hukum Syariat itu. Orang bukan Islam diberi pilih sama ada mahu hukuman sebat (Islam) atau penjara empat bulan (Inggeris). Tapi, apa yang berlaku di Acheh pula orang Cina memilih hukuman sebat 20 kali (bagi kesalahan) malulah sekejap. Dia tidak mahu penjara empat bulan. Ini kita tidak paksa kerana Perlembagaan Malaysia mengatakan bahawa Mahkamah Syariah tidak boleh menghukum orang bukan Islam. Mereka ada undang-undang mereka sendiri. Kita kena sedar bahawa di negeri kita ada undang-undang yang sama, ada undang-undang yang berbeza. Undang-undang yang sama seperti undang-undang jalan raya, Lampu isyarat sama, jika merah berhenti, lampu hijau boleh jalan, lampu kuning tunggu. Kita tidak buat lampu hijau PAS boleh jalan. Lampu merah DAP boleh jalan, lampu kuning orang lain semua boleh jalan. Undang-undang berkait dengan restoran, kedai makan lain orang Islam dengan orang bukan Islam. Undang-undang nikah kahwin juga lain orang Islam dengan orang bukan Islam.

Kita sudah memerintah Kelantan 28 tahun. Adakah orang kena potong tangan di Kelantantidak ada. Bila PAS memerintah, orang Cina boleh minum arak dan boleh makan babi. Ini hak orang bukan Islam kita tidak boleh halang. Tapi, orang Melayu Islam jika minum arak akan dihukum.

Kenapa PAS keluar, putus dengan Pakatan Rakyat?
Sebabnya, kerana parti DAP dan parti PKR (Parti KeADILan Rakyat) tak sokong Islam yang PAS perjuangkan. Walaupun undang-undang itu untuk orang Islam sahaja bukan untuk orang bukan Islam. Tapi, dia bangkang juga untuk orang Islam. Hak orang Islam dia (DAP) tidak boleh campur. Apa yang DAP buat menyebabkan kita (PAS) berbalah, kita berkelahi. Orang bukan Islam campur urusan orang Islam dan orang Islam campur urusan orang bukan Islam, itu tidak boleh, ada sempadan dia. Bila DAP mahu campur hal orang Islamkita (PAS) tidak boleh bersama lagi dengan mereka.

Sepatutnya, orang Cina kena ingat peristiwa 13 Mei dan bergaduh tahun 1969. (Ini) Berlaku di Pulau Pinang, berlaku di Kuala Lumpur, berlaku di Perak, 13 Mei. Melayu dengan Cina perang (bergaduh). Tapi, di Kelantan, Terengganu tidak berlaku peristiwa 13 Mei. Kita kena sedar jika orang Islam pegang dengan Islam. Satu keluarga Cina, satu rumah Cina pun boleh hidup di kampung orang Melayu, boleh berkedai, boleh hidup dan tidak bergaduh. Kita tidak mahu pergaduhan kerana semua kita adalah rakyat, mesti sama dan layan dengan adil. Oleh kerana, DAP tidak boleh terima apa yang kita (PAS) nak. Maka, kita tinggalkan DAP. Apatah lagi, ikut dengan Perdana Menteri dahulu, Dr Mahathir yang (sekarang ini) berkawan dengan DAP. Orang Cina tahulah apa yang dia (Mahathir) buat dulu.

Mengapa PAS tidak bercakap soal 1MDB?
Kita kena sedar bahawa salah laku yang Umno-BN buat bukan 1MDB sahaja termasuk (skandal) Perwaja, dia hentam duit mati kilang Perwaja itu. Termasuk isu KWSP, PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Kelang), macam-macam dulu. Sekarang 1MDB. Kita (PAS) sebut semua isu termasuk 1MDB, Perwaja dan lain-lain semua kita sebut belaka supaya disiasat. Tapi, mereka (Pakatan Harapan) hanya sebut 1MDB sahaja. Kenapa?, tujuan mereka hanya mahu jatuhkan Najib bukan hendak jatuhkan Umno. Kerana kaitkan Najib dengan 1MDB dan Najib boleh jatuh. Selepas itu DAP, Tun Mahathir akan balik semula berpakat dengan Umno. Itu yang sebenar, kita kena faham. Dia (pakatan) politik pusing-pusing. Kita tidak boleh ikut. PAS lawan semua dan kita sendiri sekarang dan PAS menubuhkan Gagasan Sejahtera iaitu gabungan kita sendiri. Apa yang saya harap, apabila pihak Menteri di Parlimen memberi jawapan semua pemimpin-pemimpin parti politik disiasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kerana berlaku salahguna kuasa. BN ada disiasat, Pakatan Harapan yang ada DAP, PKR, Bersatu ada disiasat tapi pemimpin PAS tidak ada yang disiasat. Kita (PAS) bersih, bebas tanpa rasuah. Rakyat umum sudah tahu, kita (PAS) tiada buat salah laku. Sepatutnya, rakyat kena percaya kepada kita (PAS). Kita mahu supaya masyarakat Cina sekali lagi undi PAS pada pilihan raya (PRU14) kali ini, InsyaAllah. -HARAKAHDAILY 6/4/2018

- Advertisement -