Rang Antiberita Tidak Benar tak perlu

SubkyLatif
- Advertisement -

SEBAGAI pengamal berita dan warta saya tidak sependapat dengan kerajaan yang membentang Rang Antiberita Tidak Benar dan saya juga tidak sependapat dengan PAS yang menyokong rang itu.

- Advertisement -

Pada saya memadai dengan undang-undang yang ada, penyebar berita palsu didakwa dan jika sabit hukum. Jika undang-undang yang ada tidak kemas, pinda supaya ia berkesan.

Risiko rang ini boleh menjadi pesalah mandatori penjenayah, sedang berita/maklumat adalah satu keperluan kepada manusia sama seperti perlunya ilmu buat mereka. Berita asalnya kebaikan sebagai alat memerangi kejahilan dan sumber bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Para rasul dan nabi diutus untuk menyampaikan berita gembira tentang ganjaran syurga bagi orang beriman dan berita amaran dengan siksaan neraka bagi yang kafir.

Allah cipta jin dan malaikat tanpa memaklaumkan kepada sesiapa. Tetapi penciptaan manusia sebagai khalifah di bumi Allah maklumkan kepada malaikat. Demikian pentingnya berita dan maklumat bagi penciptaan manusia. Sebagai calon khalifah Adam dibekalkan dengan maklumat apa yang diperlukan dan apa yang patut dijauhinya.

Iblislah yang menyampaikan berita palsu kepada Adam hingga dia terusir dari tempat transitnya di syurga hingga terdampar ke bumi.

Dari mula lagi manusia sudah didedahkan dengan berita benar dan berita palsu. Dari awal lagi manusia diingatkan maklumat palsu.

PAS ada hujah mengapa ia tidak menolak rang itu. Saya juga ada hujah mengapa rang itu tidak diperlukan.

Sekalipun saya ada hujah, setelah PAS membuat keputusan, saya telah diajar oleh Datuk Asri, Haji Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor dan TG Nik Abdul Aziz bahawa keputusan jamaah itulah yang dipakai. Sekalipun saya ada hujah, kputusan saya adalah pandangan individu/peribadi.

Sebagai ahli parti saya diajar menerima keputusan jamaah. Sekalipun hujah saya kuat, tetapi keputusan jamaah lebih baik dari keputusan seorang sekalipun bergeliga. Maka tidaklah kerananya saya mesti meninggalkan parti dan menubuhkan parti sendiri atau masuk Bersatu atau masuk DAP yang pendirian masing-masing sama dengan sikap saya menolak rang itu.

Kerana PAS parti saya, Bersatu parti Mahathir dan DAP parti Kit Siang, parti sayalah lebih baik dari parti orang lain. Jika PAS itu bukan harakah Islamiyah, bersisa jahiliah seperti kebanyakan parti politik di dunia dulu dan sekarang tiadalah saya ingin mendekatinya.

Kata Sayyid Qutub dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran, ada dua manhaj politik saja di dunia sejak Adam hingga kiamat. Satu Islam dan selainnya jahiliah. Ertinya secebis saja Islam itu dinafikan, maka jahiliahlah ia.

Kerana Islamnyalah saya menjadisebahagian daripadanya. Sekalipun Islam meraikan peerbezaan pandangan, pandangan saya jadi minoriti yang terlalu seni dalam sikap jamaah Islam yang amat besar.

Perbezaan pandangan saya dengan PAS tidak menghalalkan saya keluar dari PAS, dan persamaan saya dengan Dr. Mahathir dan Kit Siang atas isu itu tidak menghalalkan saya masuk Bersatu atau DAP atau Harapan.

Berita tidak benar terbagi dua. Satu disengajakan seperti watak Ahli Kitab. Bohong itu mulia baginya. Benar itu hina baginya. Saranan Islam, bila ada berita dari orang fasik, waspada kebenarannya. Ahli Kitab sumber berita bohong. Bohong itu amalan orang fasik. Maka berita tidak benar yang bohong adalah lanjutan kesukaan Ahli Kitab.

Kedua silap. Silap juga salah tapi itu bukan wataknya. Nabi Adam pernah silap, termakan berita palsu dari iblis. Dia dihukum. Dia menyedarinya lalu taubat. Allah terima taubatnya.

Ketika propaganda. Tiada dapat ditentukan benarnya. Ia juga budaya jahiliah.

Menanganinya berpandulah kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah. – HARAKAHDAILY 6/4/2018

- Advertisement -